Friday, March 19, 2010

Polis Tumpas Sindiket Pemalsuan Pasport

KAJANG: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan pasport dengan menahan seorang lelaki warga Indonesia berumur 35 tahun di kawasan Taming Jaya kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner (ACP) Mohd Sakaruddin Che Mood berkata suspek yang dipercayai seorang penghantar pasport ditahan anggota dari Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang terserempak dengannya ketika melakukan rondaan di kawasan itu.

"Lelaki itu yang berjalan kaki sambil memegang beg, kelihatan mencurigakan apabila kereta peronda menghampirinya. Dia telah campak beg itu dan anggota kita telah memberhentikan kereta dan menahan suspek dan terus merampas beg itu.

"Setelah diperiksa anggota kita mendapati terdapat 19 keping pasport Indonesia ada dalam beg itu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di IPD Kajang di sini, hari ini.

Mohd Sakaruddin berkata susulan daripada penangkapan suspek tersebut pihak kami menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di No 68 Jalan Taming Kiri 4, Taming Sari.

"Ketika membuat pemeriksaan di rumah itu pihak polis mendapati tiada penghuni lain di dalam rumah tersebut dan merampas beberapa pasport dan juga peralatan yang digunakan untuk mengeluarkan pasport antaranya mesin pencetak, seterika dan lain-lain," katanya.

Turut dirampas 53 keping gambar yang dipercayai gambar pelanggan, cop-cop mohor Kementerian Dalam Negeri Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Negeri-negeri dalam Malaysia.

Menurut beliau pasport tersebut tulen tetapi kandungan dalam pasport tersebut adalah palsu.

"Suspek juga mengaku pertama kali membuat kerja tersebut dan mendapat upah RM150 dari setiap sekeping pasport yang dihantarnya," katanya.

Suspek ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 (1)(F) Akta Pasport 1996, iaitu memalsukan pasport. - mstar online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...