Wednesday, March 24, 2010

Peniaga Pasar Tani Upah Pekerja Asing Akan Diambil Tindakan Tegas



ALOR SETAR, 24 Mac (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga pasar tani yang mengambil atau mengupah pekerja asing berniaga di pasar itu.

Pengerusinya Datuk Badarudin Amiruddin berkata Fama tidak akan berkompromi dengan perkara itu dan lesen peserta pasar tani yang ingkar akan digantung atau ditarik balik.

"Kami memandang serius perkara ini kerana penubuhan pasar tani adalah untuk membantu rakyat kita, bukannya memberi peluang kepada pendatang asing berniaga di situ," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Ulang Tahun ke-25 Pasar Tani Peringkat Negeri Kedah dan Penyerahan Motosikal Roda Tiga, di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini terdapat tiga kes mengambil pekerja asing dikesan di Wilayah Persekutuan dan Fama telah menggantung perniagaan peniaga terbabit selama tiga bulan.

Pada majlis itu, sebanyak 19 motosikal iaitu sembilan motosikal roda tiga dan 10 motosikal biasa bersama kotak muatan barang di belakang diserah kepada peraih dan peruncit seluruh Kedah melalui senarai permohonan e-Kasih. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...