Tuesday, March 16, 2010

Pengusaha Restoran Dakwa Ada AJK Presma Bukan Warga Tempatan



KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama)-- Seorang pengusaha restoran mendakwa beberapa ahli jawatankuasa tertinggi (AJK) Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma) tidak layak memegang jawatan itu memandangkan mereka bukan warganegara.

Kamarul Jaman Seeni Mohideen, 44, berkata beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 11 Mac lepas dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Kuala Lumpur pada 5 Mac.

Katanya, undang-undang pendaftaran Presma yang mempunyai 2,400 anggota menyatakan hanya ahli yang memegang status warganegara sahaja yang layak untuk memegang jawatan tertinggi dalam pertubuhan itu.

"Di dalam senarai jawatankuasa yang dikeluarkan oleh setiausaha PRESMA (selepas pemilihan pada November) mendapati sesetengah dari mereka bukan warganegara dan memegang status penduduk tetap," katanya di sini Isnin.

Kamarul, yang telah 18 tahun menyertai pertubuhan itu, berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada presiden persatuan pada 16 Nov tahun tetapi sehingga kini tidak ada sebarang tindakan yang diambil.

Sementara itu, Presiden Presma, Noorul Hassan Sahul Hameed ketika dihubungi berkata semua keputusan bagi pemilihan AJK telah dimaklumkan kepada pihak Pendaftaran Pertubuhan dan tidak terdapat sebarang masalah yang timbul.

"AJK dipilih oleh suara majoriti dan pihak pendaftaran tidak ada masalah selagi mereka tidak melanggar undang-undang," tambah beliau. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...