Friday, March 5, 2010

Pendakwaan Pohon Kenyataan Muntik Diterima Sebagai Keterangan

SHAH ALAM, 5 Mac (Bernama) -- Pihak pendakwaan dalam kes bunuh pembantu rumah warga negara Indonesia, Muntik Bani, pada Jumaat mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk memasukkan kenyataan wanita itu yang dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah sebagai sebahagian daripada keterangan di mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani membuat permohonan itu mengikut Seksyen 32 Akta Keterangan 1950 dengan alasan keterangan saksi-saksi pendakwaan di mahkamah menunjukkan bahawa Muntik sudah meninggal dunia.

"Matlamat kami untuk memasukkan kenyataan Muntik sebelum dia meninggal dunia. Kami juga akan memanggil semula Inspektor Mohd Azan Radzali iaitu pegawai polis yang telah merakamkan kenyataan Muntik," katanya selepas saksi ke-50 yang juga saksi terakhir pendakwaan, pegawai penyiasat ASP Ahmad Tarmudi, selesai memberi keterangan pada perbicaraan kes A.Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik. 40.

Murugan, seorang penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pada 26 Okt lepas setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa menetapkan 12 Mac ini untuk mendengar permohonan itu.

Terdahulu, ketika disoal balas oleh peguam bela tertuduh, V.Rajehgopal, Ahmad, 47, memberitahu mahkamah beliau telah mengarahkan pasukan forensik polis menjalankan siasatan di rumah bekas majikan Muntik, Puah Hooi Sueew di Taman Sentosa pada 28 Okt tahun lepas.

Beliau berkata ia bertujuan memastikan sama ada Muntik ada mengalami kecederaan sepanjang bekerja di rumah itu sebelum dia melarikan diri ke rumah Murugan pada 17 Sept tahun lepas.

Kepada soalan Rajehgopal sama ada beliau mempunyai pengetahuan bahawa Muntik ada mengalami kecederaan di rumah Puah, saksi itu berkata beliau pergi ke rumah bekas majikan Muntik itu untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan tidak pasti sama ada Muntik mengalami kecederaan di rumah bekas majikannya itu.

"Bagaimanapun, daripada keterangan bekas majikan Muntik, mangsa mempunyai kudis-kudis kecil yang melecet yang mungkin terjadi semasa dia membuat kerja di dapur rumahnya," kata Ahmad. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...