Wednesday, March 3, 2010

Peluang Muntik Untuk Sembuh Tipis, Kata Pakar Ortopedik


SHAH ALAM, 3 Mac (Bernama) -- Seorang pakar ortopedik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa pembantu rumah warganegara Indonesia Muntik Bani yang meninggal dunia kerana didera, dilihat mempunyai peluang tipis untuk sembuh ketika dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 20 Oktober lepas.

Dr Chang Kok Chun, 40, yang bertugas di Jabatan Ortopedik HTAR berkata beliau berpendapat sedemikian berdasarkan kepada keadaan pembantu rumah itu yang tenat ketika diberi rawatan di wad kecemasan hospital itu.

"Dia dibawa ke hospital dalam keadaan tenat dan dipercayai dibiarkan tanpa sebarang rawatan dan tidak diberi makan serta minum kira-kira tiga hari sebelum itu, berdasarkan kepada keadaannya yang sangat 'dehydrated'," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada perbicaraan kes penjual air tebu, A.Murugan yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Murugan, 35, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No.11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober lepas mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muntik yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di HTAR pada 26 Oktober lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan.

Dr Chang yang merupakan saksi ke-49 pendakwaan berkata pembantu rumah itu mengalami banyak kecederaan seperti patah tulang belakang yang menyebabkan dia lumpuh dari paras dada ke bawah, mempunyai bisul pada bahagian kaki kanannya yang dijangkiti kuman, patah tulang belikat dan patah pada beberapa tulang rusuk.

"Kecederaan-kecederaan itu konsisten dengan trauma benda tumpul yang mungkin boleh disebabkan oleh keganasan fizikal atau seseorang yang jatuh dari ketinggian bangunan setinggi dua tingkat.

"Berdasarkan kepada sejarah pesakit itu pada pendapat saya kecederaan itu konsisten dengan trauma benda tumpul yang disebabkan oleh keganasan fizikal. Serangan menggunakan alatan seperti kayu, rotan dan tendangan atau tumbukan boleh menyebabkan kecederaan-kecederaan seperti itu," katanya.

Saksi itu berkata sepanjang merawat Muntik dari 20 Oktober sehingga hari kematiannya pada 26 Oktober lepas, beliau mengawasi keadaan keseluruhan pembantu rumah itu, merawat bisul di kaki kanannya dan membuat perancangan untuk melakukan pembedahan penstabilan tulang belakang sekiranya keadaan kesihatan Muntik mengizinkan.

Ditanya Mohd Dusuki bagaimana perkembangan kesihatan Muntik sepanjang beliau merawatnya, Dr Chang berkata Muntik dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 21 Oktober, dan keadaannya secara umum semakin merosot walaupun dia diberikan rawatan intensif.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung pada Khamis. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...