Tuesday, March 16, 2010

PARLIMEN: Pelajar Antarbangsa Harus Penuhi Syarat Sebelum Perbaharui Pas

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Pelajar antarabangsa di Malaysia harus memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebelum permohonan memperbaharui pas pelajar mereka diluluskan, Dewan Rakyat diberitahu Selasa.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata antara syarat yang harus dipenuhi ialah pelajar itu mestilah merupakan pelajar tajaan negara atau organisasi negara berkenaan sahaja selain perlu mendapatkan surat sokongan daripada pihak kedutaan.

"Kementerian juga akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri terutamanya Jabatan Imigresen dalam meningkatkan keberkesanan urusan berkaitan pelajar antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Baharum Mohamed (BN-Sekijang) tentang langkah-langkah yang diambil untuk memastikan pelajar-pelajar antarabangsa ini adalah pelajar tulen dan tidak menyalahgunakan pas pelajar mereka seperti melakukan jenayah, menjalankan perniagaan dan menjadi anggota pengganas antarabangsa.

Saifuddin berkata berdasarkan data kementerian dan statistik dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), hanya 17 kes melibatkan pelajar antarabangsa dilaporkan sehingga kini.

Daripada jumlah tersebut, enam merupakan kes ugut, empat kes merusuh, tiga kes curi, dua kes cabul dan satu kes rogol serta mendatangkan kecederaan.

Saifuddin berkata walaupun kes yang dilaporkan kecil berbanding 17,000 pelajar antarabangsa yang berada di negara, kementerian tetap memandang serius perkara itu.

Bagi mengurangkan angka tersebut, Saifuddin berkata kerajaan hanya akan mengambil pelajar yang ditaja oleh negara-negara luar atau organisasi negara tersebut dan menyesuaikannya dengan kriteria yang dikehendaki pihak kementerian.

Katanya keperluan mencapai kehadiran 80 peratus daripada keseluruhan jadual kelas dan mendapat keputusan akademik yang baik untuk menyambung pas pelajar akan diteruskan.

Kepada soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) mengenai langkah mewujudkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau, Saifuddin menjelaskan kerajaan harus memperkenalkan lebih banyak kursus yang baik bagi menarik pelajar-pelajar terutamanya dari negara maju.

"Di negara ini pelajar yang paling ramai adalah dari China, Indonesia, Iran, Nigeria dan Yaman. Manakala hanya 150 pelajar dari United Kingdom (UK) yang menyambung pelajaran di sini berbanding 12,000 pelajar Malaysia di UK," katanya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...