Saturday, March 20, 2010

Papa ambil pembantu rumah dari Mindanao

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pekerja Asing (Papa) akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Filipina bagi membawa masuk pembantu rumah dari Kepulauan Mindanao selepas pembekuan permit pekerja asing oleh Kerajaan Indonesia yang masih berlarutan sehingga kini.

Presidennya, Alwi Bavutty, berkata perjanjian itu dijangka ditandatangani pada akhir bulan ini dan pengambilan pembantu rumah dari kepulauan Mindanao bermula awal bulan depan.

Katanya, persetujuan berhubung hal itu diputuskan selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan Atase Tenaga Kerja Filipina semalam bagi mendapatkan maklum lanjut terutama berhubung syarat dan gaji minimum ditetapkan untuk pengambilan pembantu rumah dari wilayah berkenaan.

“Secara rasminya kadar gaji yang sudah dipersetujui bagi pembantu rumah beragama Islam dari Mindanao adalah sekitar RM1,000, lebih murah daripada kadar yang sudah ditetapkan kerajaan negara itu untuk pembantu rumahnya iaitu sekitar RM1,300 atau AS$400.

“Bagaimanapun, persetujuan hanya membabitkan pembantu rumah Islam dan mereka hanya akan diambil bekerja bersama oleh majikan beragama Islam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Alwi berkata, pembantu rumah yang akan dibawa masuk nanti adalah mereka yang sudah mendapat latihan mencukupi dari pusat latihan pembantu rumah di Filipina sebagaimana pembantu rumah bukan Islam dari negara itu sebelum ini.

Katanya, soal bayaran yang dikenakan lebih mahal atau sebaliknya tidak timbul kerana kadar bayaran bagi pembantu rumah dari Filipina yang sudah dipersetujui sebelum ini memang lebih tinggi berbanding pembantu rumah Indonesia.

Ia katanya kerana ramai di antara mereka yang mempunyai kelulusan hingga peringkat diploma dan boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik.

Beliau berkata, langkah mengambil pembantu rumah dari Kepulauan Mindanao dibuat berikutan permintaan tinggi terutama daripada majikan Islam yang kini berhadapan masalah mendapatkan pembantu rumah Islam dari Indonesia. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...