Thursday, March 4, 2010

Pantau pelajar asing - Pemuda Seputeh

MOHD. Razlan Mohd. Rafii (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Mohamad Khairi A. Malik pada pertemuan yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 2 Mac - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seputeh mahu Kementerian Pengajian Tinggi memantau kebanjiran pelajar asing di negara ini dan isu penyalahgunaan pas pelajar.

Ketuanya, Mohd. Razlan Mohd. Rafii berkata, walaupun kes penyalahgunaan pas pelajar dilaporkan sekitar empat peratus sahaja tetapi ia perlu dianggap sebagai masalah yang serius.

"Kita berharap pihak kementerian mengambil serius perkara itu dengan mengenakan tindakan kepada mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) yang gagal memantau pelajar mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Politik kepada Menteri Pengajian Tinggi, Mohamad Khairi A. Malik di sini baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, rombongan Pemuda UMNO Seputeh itu turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu pengajian tinggi dan mendapatkan maklumat tentang usul yang dikemukakan pada tahun lepas.

Pada persidangan Pemuda UMNO tahun lepas, Pemuda UMNO Bahagian Seputeh mengusulkan supaya kerajaan mengkaji semula kewujudan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Pergerakan itu turut mengusulkan supaya pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) oleh pelajar Melayu ditukar kepada biasiswa jika mereka memperoleh keputusan cemerlang.

Mohd. Razlan berkata, daripada usul-usul yang dibentangkan, usul menukar pinjaman kepada biasiswa telah diterima oleh kerajaan yang diumumkan menerusi pembentangan Bajet oleh Perdana Menteri.

Beliau berkata, Pemuda Seputeh juga akan memainkan peranan memantau IPTS di Wilayah Persekutuan bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang dan tidak menyekat pergerakan pelajar Islam mengamalkan ajaran agama mereka.

"Kita juga sudah mendapat persetujuan daripada pihak kementerian untuk membantu anak-anak Seputeh yang cemerlang mendapat tempat di IPT," katanya.

Sementara itu, Mohamad Khairi memberitahu, sebuah agensi sudah dipertanggungjawabkan untuk memantau kualiti silibus di IPT.

Katanya, langkah itu adalah untuk menjamin graduan yang bakal dilahirkan nanti adalah yang berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran pekerjaan. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...