Thursday, March 4, 2010

Ops Negeri: 132 PATI ditahan

KOTA KINABALU 3 Mac - Jabatan Imigresen menahan seramai 132 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) di daerah ini dalam operasi 'Ops Negeri' yang diadakan selama tiga hari bermula semalam.

Ketua Penguat Kuasanya, Dairin Unsir berkata, daripada jumlah itu, seramai 110 orang merupakan warga Filipina manakala 22 lagi adalah warga Indonesia.

 BEBERAPA anggota Imigresen Sabah melakukan pemeriksaan ke atas PATI di Kampung Numbak, dalam Ops Negeri di Kota Kinabalu, semalam.

"Operasi bertumpu di tiga kawasan iaitu Likas, Sepanggar dan kawasan bandar raya yang melibatkan pemeriksaan di kawasan setinggan, kilang dan kawasan pembinaan.

"Sepanjang tiga hari itu, seramai 354 orang telah diperiksa dan hasilnya, 132 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Imigresen negeri di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi kali ini dibahagikan kepada tiga iaitu 'Ops Mahir' yang melibatkan kawasan pembinaan dan kilang manakala 'Ops Sapu' dan 'Ops Pintu' pula melibatkan kawasan setinggan.

Beliau menambah, operasi yang akan berakhir esok itu membabitkan seramai 110 anggota dan pegawai Imigresen.

"Kebanyakan PATI yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan pas perjalanan yang sah serta Seksyen 151 (C) kerana tinggal melebihi masa," katanya.

Menurut Dairin, pihaknya akan meningkatkan usaha membanteras kemasukan PATI ke negeri ini dari semasa ke semasa.

Beliau memberitahu, sepanjang tahun lalu, pihaknya telah menghantar pulang lebih 16,000 PATI ke negara masing-masing.

Katanya, seramai 70 peratus daripada mereka dari Filipina manakala selebihnya adalah warga Indonesia. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...