Tuesday, March 23, 2010

MPAJ sita premis niaga diusaha warga asing

AMPANG 22 Mac - Sebanyak enam premis di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) disita baru-baru ini selepas didapati diusahakan warga asing.

Penguat kuasa MPAJ mengangkut barang-barang dari sebuah kedai runcit yang dikenal pasti diserahkan pengendaliannya kepada peniaga asing di Ampang baru-baru ini. 

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abd. Hamid Hussian dalam kenyataannya berkata, tindakan diambil selepas premis yang dikhaskan kepada warga tempatan di Kampung Pandan Dalam, Ampang didapati tidak dijalankan oleh mereka.

"Dalam pemeriksaan di kawasan itu enam premis dikenalpasti diusahakan warga asing di mana dua daripadanya mengusahakan kedai runcit, tiga buah premis menjalankan perniagaan kedai makan dan sebuah premis menjual jamu.

"Tindakan penyitaan telah diambil di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Perlesenan, Perniagaan dan Perindustrian (MPAJ) 2007 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen daripada pihak majlis," katanya.

Jelasnya lagi, pemilik boleh dikompaun sebanyak RM1,000 dan jika sabit kesalahan denda sebanyak RM2,000 boleh dikenakan.

"Pihak majlis juga dalam proses untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pemilik rumah yang menjadikan rumah atau sebahagian rumah mereka sebagai tempat menjalankan aktiviti perniagaan yang melanggar peruntukan undang-undang.

"Mereka yang didapati bersalah juga boleh dikenakan kompaun di bawah Seksyen 70(12), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). Pemilik rumah boleh dikompaun RM12,500 selain didenda sebanyak RM25,000 jika sabit kesalahan," jelasnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...