Wednesday, March 10, 2010

Migrasi: Kerjasama Malaysia-IOM

PUTRAJAYA 9 Mac - Malaysia bakal bekerjasama dengan Organisasi Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM) khususnya dalam perkongsian kepakaran bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, IOM yang akan menubuhkan cawangan tetapnya di Kuala Lumpur tidak lama lagi mampu membawa pembaharuan dalam isu keselamatan negara membabitkan jenayah merentasi sempadan.

 Hishammuddin Tun Hussein dan William Lacy Swing pada sidang akhbar di Putrajaya, semalam. 

"Kementerian tidak ada halangan untuk IOM menubuhkan cawangan tetap itu, kertas cadangan mengenainya akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan selepas mendapat persetujuan Wisma Putra," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah IOM, William Lacy Swing, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, kerjasama itu juga dapat membantu melatih pegawai penyiasat dan pendakwa berhubung kes-kes melibatkan pemerdagangan manusia.

"Saya percaya kewujudan pejabat cawangan IOM akan membantu KDN menangani isu pemerdagangan manusia, penyeludupan orang serta masalah berkaitan dengan migrasi.

''Perkongsian kepakaran itu juga dapat memendekkan tempoh proses pembelajaran dan melaluinya kepakaran pihak-pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi berkaitan lain seperti polis marin dapat dipertingkatkan," katanya.

IOM adalah badan bebas yang berpusat di Geneva dan berperanan dalam soal-soal berhubung kait dengan migrasi seperti aspek pengurusan, pembangunan dan penempatan semula sejak 12 tahun lalu.

Pada masa ini, pejabat cawangan IOM di Kuala Lumpur menumpang sementara di bangunan UNHCR di Jalan Bellamy.

IOM mempunyai 127 negara anggota, 17 negara pemerhati dengan 440 pejabat cawangan di seluruh negara serta 7,500 kakitangan. Setakat ini, IOM sudah mengendalikan 2,000 projek melibatkan migrasi penduduk dunia.

Sementara itu, Swing berkata, IOM berminat memperluaskan jaringan kerjasama keselamatan dengan Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai isu pemerdagangan orang.

"Kami bersedia memberi perkhidmatan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia sebagaimana dilaksanakan kepada kebanyakan negara di seluruh dunia," katanya.

Malaysia mencatatkan sebanyak 186 kes pemerdagangan manusia dalam tempoh dua tahun iaitu bermula 28 Februari 2008 sehingga 7 Februari tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 154 mangsa adalah wanita, termasuk 60 lelaki dan 17 kanak-kanak membabitkan sebanyak 262 tangkapan direkodkan dalam tempoh sama. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...