Saturday, March 27, 2010

Mengurus warga asing

Oleh KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN

USAHA Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menganjurkan Makmal Pengurusan Warga Asing yang diumumkan baru-baru ini wajar dipuji dan dihargai. Isu warga asing ini tidak boleh lagi dipandang sebagai 'isu rantingan' dan tidak penting.

Hakikatnya, hampir setiap hari kita mendengar dan melihat sendiri aduan banyak pihak agar isu ini diselesaikan secara tuntas dan berkesan.

Mata masyarakat menjadi 'pedih dan sakit' apabila melihat lambakan pekerja asing, terutamanya di musim cuti di tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur. KLCC, boleh dikatakan menjadi 'kota global' dalam sekelip mata di waktu cuti umum.

Nyatanya, risau dan khuatir masyarakat ini mempunyai asas yang kukuh. Apakah dengan jumlah mereka seramai ini - kesemuanya melalui jalan 'sahih' dan hadir secara halal? Apakah kehadiran yang seramai ini tidak mendatangkan ancaman - baik secara ekonomikal mahupun 'keselamatan' dalam erti kata sebenarnya?

Kehadiran warga asing di Kuala Lumpur pada cuti umum menggambarkan seolah-olah ibu negara bukan milik Malaysia. - gambar hiasan

Saat kita menerima bahawa jenayah rentas sempadan (trans-national crime) adalah isu yang penting; kita tidak boleh mengambil mudah dengan jumlah dan angka kehadiran yang sebesar ini.

Waima negara maju sekalipun masih mempunyai niat menjaga 'tembok' daripada kehadiran warga asing yang terlalu besar. Sekitar Februari 2009, Kerajaan Britain yang ada dikritik hebat kerana angka 'warga asing' yang boleh mendatangkan risau dan khuatir di kalangan rakyat.

Bermula dengan angka 'sebenar' yang dikeluarkan 'Office of National Statistics' (ONS) sekitar 2009 yang menyebut kehilangan pekerjaan di kalangan warga Britain yang berjumlah 250,000; angka warga asing yang digajikan di Britain pada tahun yang sama meningkat sebanyak 200,000 orang! Terdapat korelasi yang sangat nyata mengenai 'takat' seriusnya kedudukan ini. Pastinya rakyat negara tersebut tidak senang dengan 'angka' itu.

Kritik rakyat Britain ada asasnya. Ironi, kerana pada tempoh yang tidak lama sebelum itu, slogan 'Bristish jobs for British workers' didendangkan oleh kerajaan. Fakta ONS tidak sama sekali membenarkan niat dasar yang dikemukakan. Jurang 'polisi dan tindakan' inilah yang menyebabkan kerajaan dikritik hebat oleh rakyat. Walaupun cuba memberi alasan bahawa penduduk Britain semakin 'tua' dan memerlukan warga asing bagi proses pembangunan.

Ini membawa makna bahawa 'kebergantungan' kepada warga asing adalah fenomena global di mana sahaja. Soal warga kita sendiri yang terlalu memilih bidang pekerjaan dan sebagainya juga tidak boleh dipandang sepi. Itulah hakikatnya, maka kita saban hari dilayani oleh 'pekerja global', baik di kedai mamak biasa mahupun kopitiam (halal dan haram). Ada ketika, darah kita mendidih kerana 'pekerja global' ini sering salah mengambil pesanan.

Tindakan yang diambil KDN adalah bertepatan dengan masa dan keadaan. Isu warga asing tidak boleh lagi menjadi masalah KDN sebagai Kementerian yang tunggal. Banyak perkara dan prosedur; mungkin tidak pun berada di bawah bidang kuasa KDN. Lebih daripada itu, 'daerah tugasan kementerian' berbeza mengikut industri. Ini membuktikan dengan lebih nyata bahawa wujud keperluan untuk melakukan proses 'sinergi' dalam membuat keputusan dan rangka dasar.

Kalau warga asing yang terlibat di dalam sektor perladangan, ia dikawal selia oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Kementerian Sumber Manusia menjaga sektor perkhidmatan. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengurus sektor perkilangan. Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi menjaga sektor pendidikan. Kementerian Pelancongan menjaga sektor dan aktiviti pelancongan dan KDN sendiri menjaga sektor keselamatan. Maka dengan 'daerah tugas' yang sedemikian merata; proses 'sinergi', baik data mahupun perancangan strategik menjadi sangat sukar, namun tidak mustahil.

Mewujudkan 'makmal' perbincangan yang boleh berbincang secara menyeluruh mengenai pengurusan warga asing, khususnya pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah sangat bertepatan dan wajar. Kita tidak boleh lagi mengambil sikap meletakkan masalah di bawah 'permaidani' dan membiarkan sahaja suasana menjadi semakin buruk, tanpa sebarang usaha campur tangan dasar dan strategi' yang tepat.

Apa yang perlu ditekankan oleh makmal tersebut adalah soal 'pemusatan data' dan perancangan yang lebih strategik. Di dalam syarikat-syarikat multinasional, elemen forecasting (anggaran) keperluan adalah menjadi sangat penting. Ini boleh meletakkan sebarang strategi untuk berada di landasan yang tepat dan betul.

Mungkin makmal tersebut dapat belajar sedikit bagaimana Petronas mengurus tenaga pakar di kalangan syarikat minyak dunia di tanah air. Walaupun di dalam outfit yang sangat kecil, wujudnya 'Pengurusan Sumber Manusia dan Malaysianisasi' di dalam Petronas; telah memberikan sedikit 'kekuatan' untuk Petronas menentukan 'jumlah warga asing' yang perlu digunakan di dalam syarikat-syarikat yang terbabit.

Kerajaan tidak boleh lagi mengambil sikap mudah tunduk dengan tekanan ekonomi yang kadangkala bukannya real dan bersifat sebenar. Disebabkan itulah juga, usaha untuk menawarkan pekerjaan yang tetap dan baik kepada anggota RELA dan Jabatan Pertahanan Awam dalam sektor keselamatan adalah permulaan yang baik.

Ya, mungkin kesannya belum tentu menghasilkan sesuatu yang baik; namun sekurang-kurangnya langkah sedang diambil. Soal pengurusan warga asing ini tidak boleh secara totalnya diletakkan di dalam neraca 'untung rugi sektor swasta' semata-mata.

Kita perlu mempunyai landasan pemikiran yang betul - kehadiran mereka yang tanpa izin boleh mendatangkan impak dan kesan yang nyata. Ini termasuklah 'kenyataan' bahawa kita berbelanja hampir RM171 juta untuk perbelanjaan banduan warga asing. Ini merangkumi 81,396 banduan dan 408,979 tahanan warga asing di 13 depot seluruh negara.

Angka ini amat memeranjatkan. Jika dilakukan conversion, kita mungkin boleh membina 10 buah sekolah berharga 15 juta di seluruh negara! Ataupun menyediakan bajet yang lebih kepada usaha pemerkasaan sukan di sekolah-sekolah anak kita.

Dalam suasana persaingan ekonomi global yang semakin mencengkam, kita tidak boleh lagi mengambil 'kos sampingan' yang sebesar ini. Harus dipertegaskan bahawa masalah sebenar kita adalah PATI. Warga asing yang berada di sini di atas soal merit - dan sesungguhnya menyumbang kepada pembangunan akan sentiasa dihargai.

Sebagai rakyat, tindakan pro aktif untuk mengadakan makmal warga asing yang akan memberikan fokus kepada prosedur kemasukan, perundangan, sistem pemantauan dan penguatkuasaan. Jika langkah pembetulan dapat dijayakan kepada empat perkara ini, kita mungkin dapat mengurus warga asing dengan lebih baik dan berkesan.

Rakyat perlu diberikan keyakinan bahawa peruntukan ratusan juta untuk menjaga banduan dan PATI perlukan 'campur tangan dasar' yang menyeluruh. Jabatan Imigresen Malaysia yang mengadakan hampir 7,100 operasi sepanjang tahun 2009 - menghasilkan hampir 50,000 tangkapan!

Gelombang rakyat harus sama digerakkan untuk memberi maklumat di atas kehadiran warga asing yang melampau di taman, kampung, jalan dan daerah masing-masing. Perkara ini sudah menjadi masalah nasional; dan ia perlu ditangani dengan selayaknya.

Mengurus dan mengawal kehadiran PATI bukan dilakukan atas dasar xenophobic tanpa asas - tapi lebih kepada soal kepentingan negara secara keseluruhannya. Malaysia tidak pernah menutup pintu kepada mereka yang mahu sama-sama membangun negara ini. Namun, ia mesti dilakukan melalui landasan hukum dan perundangan yang betul.

PENULIS ialah pemerhati sosio-politik - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...