Tuesday, March 9, 2010

Melancong untuk merompak

 
POLIS mengiringi seorang wanita warga Sepanyol yang ditahan bersama tiga lagi lelaki (gambar bawah) berasal dari negara sama selepas merompak sebuah rumah di Taman Tun Abdul Razak, dekat Ampang, semalam.

4 warga Sepanyol ditahan pecah rumah

AMPANG: Empat pelancong Sepanyol termasuk seorang wanita yang dikatakan menginap di hotel mewah sekitar Lembah Klang, ditahan polis kira-kira setengah jam selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Tun Abdul Razak di sini, semalam.

Penahanan empat warga Sepanyol itu hasil tindakan pantas seorang jiran menghubungi pemilik rumah berkenaan selepas melihat tiga lelaki dan seorang wanita warga asing memasuki kediaman terbabit, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata mangsa yang ketika itu keluar bekerja, segera pulang ke rumah dan terkejut apabila mendapati empat suspek menggeledah kediamannya.

"Mangsa kemudian ditahan dan diacukan pisau di leher oleh seorang suspek sebelum kumpulan itu melarikan diri dengan menaiki kereta bersama barangan berharga milik mangsa.

"Atas maklumat mangsa, sebuah kereta peronda polis yang membuat rondaan di kawasan itu berjaya menahan kereta suspek, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dalam masa kurang 30 minit," katanya.

Beliau berkata, seorang suspek cuba melarikan diri dengan bersembunyi dalam longkang berhampiran, tetapi berjaya ditahan polis.

Abdul Jalil berkata, keempat-empat suspek berusia 25 hingga 45 tahun itu ditahan bersama sebuah komputer riba, barang kemas bernilai RM7,000, wang tunai RM1,000 dan beberapa mata wang asing yang semuanya dianggar bernilai RM25,000.

Katanya, semua suspek memasuki negara ini secara berasingan dengan tujuan melancong dan menginap di beberapa hotel mewah sekitar Lembah Klang.

"Kumpulan itu dikatakan berkumpul di sebuah kelab malam di Petaling Jaya bagi merancang rompakan di kawasan perumahan mewah dan sunyi selepas membuat rondaan di kawasan perumahan yang sudah dikenal pasti," katanya. - Berita Harian

1 comment:

  1. Apa fasal begitu spontannya mereka boleh datang ke Malaysia merompak...? Mampukah rakyat Malaysia sejati berperasangka buruk kepada pelancong.. Ya mungkin segelintir tapi... tak terkata jadinya..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...