Friday, March 19, 2010

Melaka & Negeri Sembilan: Sekali 'servis' RM200

Wanita asing gaya seksi di Flet Seri Delima sasar lelaki baru pulang kerja

SEREMBAN: Sekumpulan wanita asing berpakaian seksi dikesan menjadikan beberapa rumah di Flet Seri Delima di Taman Bukit Delima, di sini sebagai sarang pelacuran dengan menyasarkan lelaki yang baru pulang kerja sebagai pelanggan utama.

Wanita warga China, Myanmar dan Vietnam berkenaan dikatakan berlegar-legar di kawasan tempat letak kenderaan di bawah flet pada waktu petang sehingga lewat malam untuk mencari pelanggan yang kemaruk seks rambang.

WANITA warga asing disyaki pelacur ditahan dalam Ops Noda Khas di Taman Delima, dekat Seremban. 

Pelacur yang kebanyakannya berusia 20-an itu dikatakan pandai bermain kata-kata dengan sesetengahnya fasih berbahasa Melayu dan boleh ‘berunding’ mengenai harga. Selepas berjaya memujuk lelaki yang kebanyakannya penduduk kawasan sama, pelacur terbabit akan membawa pelanggan naik ke unit rumah yang disewa untuk diberikan ‘servis’ dijanjikan dengan bayaran kira-kira RM200 untuk sekali.

Bagaimanapun, kegiatan maksiat haram itu disedari penduduk kawasan berkenaan yang membuat laporan polis agar perumahan mereka terus dijadikan sarang pelacuran wanita warga asing terbabit.

Berikutan aduan itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan melancarkan operasi dikenali sebagai ‘Ops Noda Khas,’ tengah hari kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Superintendan Lim Kim Fook, berkata pihaknya membuat serbuan ke atas 19 rumah yang disyaki dijadikan premis menjalankan kegiatan pelacuran dan menahan 45 wanita China, Myanmar (tiga) dan Vietnam (dua).
 
"Apabila dapat banyak wang, mereka pulang ke negara asal dan ajak orang lain datang melacur" - Lim Kim Fook
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah
Negeri Sembilan

"Kita turut menahan 12 lelaki dipercayai pelanggan dan merampas sejumlah kondom dalam operasi selama dua jam yang berakhir jam 1 petang itu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan intipan selama dua bulan sebelum dapat mengenal pasti rumah dan wanita yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Katanya, polis terpaksa membuat serbuan pada waktu pagi kerana kebanyakan wanita terbabit memulakan aktiviti pada waktu petang dan mungkin menyebabkan mereka mudah melarikan diri atau tiada di dalam rumah.

"Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 372 A (1) kerana terbabit dalam kegiatan pelacuran," katanya.

Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati kegiatan itu tidak didalangi sindiket sebaliknya pelacur terbabit beroperasi sendiri.

Mengenai bilangan pelacur yang ramai, Lim berkata, polis percaya wanita asing terbabit yang mendapat pendapatan lumayan hasil kegiatan maksiat di kawasan itu pulang ke negara asal dan masuk semula membawa rakan untuk tujuan sama.

"Mula-mula tak ramai, tapi apabila mendapat banyak wang, mereka pulang ke negara asal dan mengajak orang lain datang, menyebabkan semakin ramai pelacur di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau memberi jaminan pihaknya akan menjalankan operasi dari semasa ke semasa dalam usaha memerangi maksiat di negeri ini dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menyalurkannya kepada polis untuk tindakan lanjut. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...