Friday, March 26, 2010

MAICCI Cadang Benarkan Lanjutkan Tempoh Kerja Pekerja Asing

PUTRAJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Gabungan Dewan Perusahaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) mencadangkan kepada kerajaan untuk membenarkan tempoh kerja kira-kira 90,000 pekerja asing yang ada sekarang di negara ini dilanjutkan.

Presidennya Datuk K.K Eswaran berkata cadangan itu dibuat kerana mereka menghadapi kekurangan pekerja yang boleh menjejaskan perniagaannya.

Beliau juga berkata mereka akan meminta pengambilan pekerja baru asing jika kerajaan tidak membenarkan cadangan itu.

"Pada masa kini, selepas lima tahun, permit tidak akan diperbaharui dan apa yang kita minta ialah untuk membenarkan permit itu dlanjutkan. Kita bukan minta pekerja asing tambahan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat beliau di sini.

MAICCI mempunyai 14 pertubuhan perniagaan yang mengandungi restoran India, restoran India muslim, serpihan logam, pembekal akhbar, tekstil dan salon rambut.

Eswaran berkata mereka juga menggaji pekerja tempatan tetapi mereka tidak tahan dengan kerja-kerja berat.

Beliau juga menekankan bahawa permintaan itu hanya untuk anggota mereka yang bergabung dengan MAICCI. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...