Monday, March 29, 2010

Lelaki Indonesia Dipenjara 9 Tahun, 3 Sebatan Kerana Merompak

SHAH ALAM: "Hukuman yang dijatuhkan diharap menjadi pengajaran supaya kamu tidak terlibat lagi dengan jenayah jika diberi peluang mencari kerja di Malaysia," kata Hakim Mahkamah Sesyen Hasbi Hasan semasa menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan terhadap seorang penganggur warga Indonesia kerana merompak rumah seorang pembantu juruteknik, April tahun lepas.

Hasbi memerintahkan tertuduh, Anjas Anwar, 31, yang berasal dari Batam Bota, Indonesia, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 23 April tahun lepas.

Tertuduh mengaku bersalah merompak harta Zawawi Mohammad, 50, iaitu wang tunai RM300, tiga buah telefon bimbit serta dua gelang emas bernilai kira-kira RM2,500 dengan bersenjatakan sebilah pisau dan sebatang pemutar skru, bersama-sama dua lagi lelaki yang masih bebas.

Anjas didakwa melakukan kesalahan itu di dalam rumah No: 1, Jalan TRJ 1/16, Taman Rahmat Jaya Kundang, Rawang, kira-kira pukul 3.30 pagi pada 23 April tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Fakta kes menyebut mangsa terjaga daripada tidur apabila terdengar jeritan anak serta isterinya dan mendapati dua lelaki Indonesia yang bersenjatakan pisau serta pemutar skru berada di dalam rumahnya manakala seorang lagi lelaki Indonesia berada di luar rumah.

Tertuduh telah mengikat anak lelaki mangsa dan membawanya ke ruang tamu sementara seorang lagi suspek menggeledah rumah dan mengambil barang-barang milik mangsa.

Dalam keadaan kelam kabut itu, mangsa bertindak nekad merampas pemutar skru daripada salah seorang perompak terbabit lalu menikam belakang seorang daripada mereka.

Dua suspek kemudian berjaya melarikan diri iaitu lelaki yang ditikam oleh mangsa dan seorang lagi rakan tertuduh dengan membawa barangan yang disamun.

Tertuduh yang cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditangkap oleh mangsa dan anak lelakinya di tempat kejadian.

Terdahulu, Anjas yang tidak diwakili peguam memohon maaf kepada mahkamah atas kesalahannya dan merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan anaknya masih kecil dan isterinya tidak bekerja.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan bagi menghalang tertuduh dan orang ramai melakukan kesalahan sama.

Wan Noora Nisa berkata mahkamah perlu mengambil kira kepentingan mangsa dan keluarganya yang trauma berikutan tertuduh telah mengikat anak lelaki mangsa semasa kejadian. - mstar online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...