Tuesday, March 2, 2010

Lelaki Bangladesh diculik rakan

 
Dua suspek yang sedang diburu polis berhubung kes culik seorang lelaki Bangladesh di Klang, semalam. 

KLANG 1 Mac - Hasrat seorang lelaki Bangladesh untuk bertemu rakannya di sini, Jumaat lalu, berakhir dengan mimpi ngeri apabila dia menjadi mangsa culik dua rakan senegaranya sendiri.

Segala-galanya bermula apabila mangsa yang bekerja di Senai, Johor, tiba di sini dan menerima pelawaan dua suspek terbabit untuk menaiki motosikal mereka.

Ketika kejadian kira-kira pukul 8 malam, mangsa yang dikenali sebagai Kadarmiah, 23, sedang berjalan di Jalan Dendang 1, Taman Rasnah, untuk ke rumah rakannya di Taman Intan di sini.

Bagaimanapun, mangsa dibawa ke sebuah rumah teres dua tingkat di taman tersebut sebelum dikurung selama dua hari.

Lebih kejam, kaki dan tangan mangsa turut dirantai selain tidak diberi makan.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, kedua-dua suspek meminta mangsa membayar RM20,000 jika mahu dilepaskan.

"Polis menerima maklumat daripada orang awam yang mendengar jeritan meminta tolong dalam rumah tersebut.

"Sepasukan anggota yang menyiasat menemui mangsa di bilik utama di aras atas rumah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya telah mengambil keterangan daripada mangsa dan memperolehi lakaran wajah suspek.

Katanya, polis sedang memburu suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Ujar beliau, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 342, Seksyen 385 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Mangsa telah dihantar ke di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) kerana cedera ringan dan lemah kerana tidak diberi makan," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...