Tuesday, March 30, 2010

Kos Tambahan Punca Kenaikan Bayaran Ambil Pembantu Rumah Indonesia

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Kos tambahan sebanyak RM4,000 yang dikenakan agensi pekerja asing Indonesia adalah punca utama mengapa kos pengambilan pembantu rumah warganegara itu mahal, Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Jelaing Mersat berkata kos tambahan yang dikenakan itu tidak terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kedua-dua negara pada 2006.

"Kos tambahan itu adalah untuk perkhidmatan mendapatkan pembantu rumah di kampung dan di daerah di negara itu yang dituntut agensi pekerjaan di negara tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) mengenai punca kos perbelanjaan mengambil pembantu rumah asing warga Indonesia mencecah antara RM7,000 dan RM8,000.

Jelaing berkata dalam MoU itu, kos yang dinyatakan berjumlah RM2,415 meliputi kos pengangkutan dari Indonesia ke Malaysia, bayaran levi, visa permit kerja, proses imigresen, kos yuran proses serta kos pemeriksaan kesihatan.

"Pihak pembantu rumah pula akan menanggung kos yang berlaku di Indonesia iaitu hampir RM1,200," katanya.

Beliau berkata hanya kos yang ditetapkan antara Malaysia dan Indonesia seperti yang termaktub dalam MoU itu sahaja yang boleh dikawal manakala kos tambahan adalah daripada agensi pekerjaan itu dan kerajaan tidak boleh menentukannya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...