Saturday, March 27, 2010

Klinik haram Nepal ditemui beroperasi di KL

KUALA LUMPUR: Operasi bersepadu Jabatan Imigresen, Polis, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membanteras rakyat asing di sekitar ibu negara hari ini membongkar kegiatan penyediaan rawatan perubatan haram oleh seorang rakyat Nepal di sebuah premis di Plaza Taleju di Jalan Silang di sini.

Operasi klinik haram di tingkat empat itu didapati berselindung di bawah papan tanda berbahasa Nepal bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan orang ramai.

Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran DBKL, Shafie Phen, berkata klinik itu tidak mempunyai lesen premis dan ia dikendalikan seorang lelaki berumur 42 tahun yang mendakwa dirinya doktor. "Dia datang ke Malaysia menggunakan permit pengawal keselamatan tetapi kita hairan bagaimana dia boleh membuka klinik.

"Walaupun dia memberitahu ada pengalaman sebagai paramedik tentera negaranya (Nepal), ia tidak diiktiraf di sini," katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu itu di pejabatnya hari ini.

Shafie berkata, lelaki itu yang dipercayai memberi perkhidmatan hanya kepada rakyat Nepal, ditahan untuk siasatan lanjut dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) 1963 kerana tidak memiliki dokumen sah dan premis itu diberi notis tutup oleh Jabatan Pelesenan DBKL.

Dalam operasi dua jam itu mulai 12 tengah hari itu, sebanyak 15 premis penjaja asing di sekitar Selayang disita dan notis penutupan juga dikeluarkan kepada enam premis lain di sekitar Jalan Silang kerana menyalahi undang-undang dan didapati tidak bersih.

DBKL turut menahan 91 rakyat Myanmar, Bangladesh dan Nepal di sekitar Pasar Seni, Chow Kit, Jalan Petaling dan Jalan Silang kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, Ab Salim Mansor, berkata daripada bilangan yang ditahan, 19 adalah wanita.

"Mereka yang ditahan berumur antara 20 dan 50 tahun," katanya.

Semua pendatang asing tanpa izin itu akan dibawa ke Depot Tahanan Sementara Imigresen di Putrajaya untuk siasatan. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...