Wednesday, March 31, 2010

Kes 16 warga asing melarikan diri : 88 pegawai imigresen disiasat

KUALA LUMPUR 30 Mac - Seramai 88 anggota dan pegawai imigresen disiasat bagi membantu kes 16 warga asing melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 27 Mac lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, kesemua mereka adalah daripada empat kumpulan yang bertugas di depot itu pada hari kejadian.

Beliau berkata, sehingga kini, semua warga asing yang melarikan diri terbabit masih belum ditemui.

"Kami percaya kejadian itu dirancang rapi sehingga berjaya melepasi sistem keselamatan dan kawalan depot.

"Kemungkinan besar juga kesemua mereka menaiki kenderaan untuk melarikan diri," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, 16 mangsa pemerdagangan manusia dari Afghanistan dan Myanmar yang diberi perlindungan di depot tersebut melarikan diri.

Kejadian berlaku antara pukul 5 dan 7 pagi membabitkan 12 lelaki Afghanistan dan empat lelaki Myanmar yang melarikan diri dengan memotong jeriji dan memanjat pagar.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan imigresen telah memulakan siasatan dalaman bagi menyiasat prosedur kerja di depot berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai 16 orang yang melarikan diri itu boleh menghubungi Pengarah Imigresen Selangor, Johari Yusof di talian 019-2649061 atau Zainol Azalan Daud di talian 013-9811767. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...