Tuesday, March 23, 2010

Imigresen Selangor Tahan 26 Warga Asing, Kebanyakannya Pekerja Restoran

Anggota-anggota dari Jabatan Imigresen Selangor dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) bekerjasama menangkap pendatang tanpa izin (PATI) dalam operasi di sekitar bandar Klang, semalam. Seramai 26 orang PATI berjaya diberkas.

KLANG, 22 Mac (Bernama) -- Jabatan Imigresen Selangor menahan 26 warga asing dalam satu operasi di Jalan Tengku Kelana, atau kawasan yang sering dirujuk sebagai Little India di sini, Isnin.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor Johari Supardi berkata mereka ditahan kerana melanggar peraturan-peraturan imigresen seperti visa dan pasport yang tamat tempoh, tiada permit kerja, dan menjalankan kerja yang lain daripada yang dinyatakan dalam permit.

Beliau berkata semua yang ditahan dalam operasi pada kira-kira pukul 3 petang itu berumur antara 20 dan 40 tahun, dengan tiga daripada mereka ialah wanita warga Indonesia, manakala 23 orang lagi merupakan lelaki warga India dan Bangladesh.

Menurutnya mereka yang ditahan akan dihantar ke depot tahanan imigresen di Sepang.

"Kebanyakan yang ditahan merupakan pekerja di restoran-restoran di kawasan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Johari berkata pihaknya turut menyiasat lima majikan di kawasan berkenaan yang didapati menggaji warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dalam operasi itu.

Menurutnya semasa pemeriksaan ramai majikan enggan mengakui yang mereka menggaji pekerja asing berkenaan, malah ada antara mereka yang memberi pelbagai alasan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...