Monday, March 29, 2010

Imigresen Percaya 16 Rakyat Asing Masih Berada Di Bandar Raya Ini

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Jabatan Imigresen percaya 16 rakyat asing mangsa pemerdagangan manusia yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sabtu lepas masih berada di sekitar bandar raya ini dan disembunyikan pihak tertentu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman berkata walaupun mangsa pemerdagangan manusia itu belum ditemui, pihaknya telah mendapat maklumat positif daripada orang awam.

"Kami hanya menunggu masa untuk menemui mereka semula kerana walau di mana mereka berada sekalipun, setiap agensi penguatkuasa sama ada di darat, udara mahupun di laut bersedia untuk menahan mereka semula," katanya kepada Bernama Isnin.

Seramai 12 rakyat Afghanistan dan empat rakyat Myanmar yang kesemuanya lelaki dan berumur antara 22 hingga 48 tahun, yang diberi perlindungan di depoh itu melarikan diri antara pukul 5 pagi dan 7 pagi, Sabtu lepas.

Abdul Rahman berkata orang ramai yang memberi pelindungan kepada mereka boleh didakwa dan jika didapati bersalah boleh dipenjara 15 tahun dan didenda tidak kurang RM50,000 mengikut Seksyen 15, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Difahamkan, rakyat asing itu telah bersembunyi atau disembunyikan di kawasan berhampiran sebelum dibawa ke kawasan lain setelah mereka menyeberangi lebuh raya berdekatan depoh terbabit.

Mereka dipercayai lari dalam kumpulan dan memakai pakaian mirip pelancong asing yang datang ke negara ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai 16 lelaki yang melarikan diri itu boleh menghubungi Pengarah Imigresen Selangor Johari Yusof di talian 019-2649061 atau Timbalan Penolong Pengarah Imigresen depoh Zainol Azalan Daud di talian 013-9811767. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...