Monday, March 22, 2010

Hebatnya ‘Jejaka Lombok’ dan ‘Abang Bangla’

- TOK PERAK

* APAKAH benar maklumat yang dikumpulkan Puteri UMNO bahawa kira-kira 500 wanita (juga gadis) tempatan terjerat oleh ikatan perkahwinan dengan lelaki Lombok yang pernah bekerja di negara ini?

Angka itu diberikan oleh Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, seperti yang dilaporkan oleh media Jumaat lalu. Tidak pula dijelaskan dari mana dia memperoleh angka tersebut, adakah dari pejabat agama atau main agak-agak sahaja.

Apa pun saya harap ‘Tuan Puteri’ jangan hanya prihatin terhadap wanita dan gadis kita yang telah terlepas ke tangan lelaki Lombok. Patut juga beri perhatian terhadap ramai lagi kaum Hawa kita yang telah dalam genggaman jejaka dari luar, terutama ‘Abang Bangla.’

Dan, akhir-akhir ini dikhabarkan kononnya semakin ramai anak gadis kita yang tertarik dengan jejaka kulit hitam dari negara Afrika yang dikenali sebagai ‘Pak Hitam’ atau ‘Gagak Hitam’.

Pendek kata jejaka tempatan kini telah dicabar oleh jejaka dari Lombok, Abang Bangla dan Pak Hitam. Maka, selain Puteri UMNO, Pemuda UMNO pun patut memberi perhatian terhadap perkara ini.


* ATAS kebimbangan lebih ramai lagi wanita kita akan dilarikan ke Lombok, maka ‘Tuan Puteri’ yang prihatin meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) membekukan pengambilan pekerja asing dari Lombok.

Saya ingin bertanya, kenapa hanya lelaki dari Lombok? Patutnya Puteri berfikiran lebih luas, dan memerhati masalah pendatang asing ini dari sudut makro. Untuk makluman Puteri, masalah pendatang asing ini sebenarnya bukan yang datang dari Lombok sahaja.

Kita sudah ada berjuta-juta pendatang asing sah yang mula merebut hak orang tempatan. Dalam waktu yang sama kita ada berjuta lagi pendatang tidak sah (haram) yang meningkatkan lagi kadar jenayah di negara kita.

Dalam pada itu ada kira-kira 40,000 warga asing dari China dan India yang masuk ke negara ini dengan visa pelawat kemudian bersembunyi tidak mahu pulang ke negara masing-masing.

Puteri jangan risau sangat mengenai jejaka Lombok, tetapi patut lebih risau dengan kehadiran berjuta-juta pendatang asing yang kini sudah menetap di negara kita. Atau, apakah ‘Tuan Puteri’ juga kini ‘terkejut’ dengan kebanjiran pendatang asing di negara kita? Cukuplah KDN sahaja yang ‘terkejut’. Puteri mesti sentiasa celik dan peka.


* BERBALIK kepada jejaka Lombok, kononnya mereka akan digelar ‘pahlawan terhandal’ sekiranya berjaya membawa pulang wanita yang berasal dari luar daerah Lombok. Itu kata Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia, Khairudin Harahap.

Katanya, itu adalah tradisi daripada nenek moyang Lombok yang menjadi keagungan masyarakat berkenaan di mana lelaki yang berjaya membawa pulang isteri luar dari daerah akan dihormati dan kemudiannya terus dipanggil sebagai lelaki terhebat.

Beliau memberitahu, jejaka Lombok sangat dikenali sebagai lelaki yang baik, penyayang, rajin dan berbudi pekerti malah mereka bijak menguruskan kewangan, sebab itu gadis dan wanita mudah ‘cair’ dan terpikat dengan ‘pahlawan’. Mereka tidak mengamalkan ‘ubat guna-guna’ seperti yang selalu didakwa oleh orang kita.

Jadi, untuk jejaka tempatan tidak perlu menuntut ilmu ‘guna-guna’ untuk memikat gadis. Tunjukkan perilaku yang baik dan sopan, tetapi bukan perilaku rempit, dadah, dan kaki lepak.

* APA pun pada hemat saya, sehebat-hebat ‘pahlawan’ dari Lombok, ‘Abang Bangla’ atau ‘Pak Hitam’, tentu hebat lagi ‘pahlawan’ dari negeri Kelantan yang bernama Shamsuddin Che Deraman atau lebih kini lebih popular dengan panggilan ‘Din Ajaib’.

Lelaki berusia 41 tahun ini, yang juga ketua satu jemaah tabligh, dikatakan berjaya memikat kanak-kanak yang berusia baru 11 tahun, sehingga akhirnya dapat menikahi gadis kecil itu.

Saya tidak fikir ‘Aladdin’ dari Serambi Mekah itu mempunyai lampu ajaib seperti yang dikisahkan dalam Hikayat Seribu Satu Malam. Dan, saya percaya dia akan berjaya ditangkap dalam masa terdekat ini untuk didakwa di bawah Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebih 10 tahun, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian

1 comment:

  1. apa nak jadi dengan anak gadis melayu ni.bangsa lain x terhegeh2 nak terpikat kat orang asing ni.betina melayu je yang b*ng*ng

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...