Monday, March 29, 2010

Dua Warga Indonesia Ditahan Kerana Rompak Bersenjata Pistol

JOHOR BAHARU, 29 Mac (Bernama) -- Polis berjaya menahan dua daripada empat lelaki warga Indonesia yang merompak sebuah kedai runcit dengan bersenjatakan sepucuk pistol dan dua bilah parang di Benut, Pontian empat hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata suspek pertama berusia 53 tahun ditahan pada 11.30 pagi, kira-kira sejam selepas melakukan rompakan itu.

Katanya lelaki itu ditahan selepas kereta yang mereka naiki untuk melarikan diri terbabas berhampiran kawasan lapangan terbang lama Tanjung Laboh, Senggarang di Batu Pahat semasa dikejar oleh sebuah kereta peronda polis.

Bagaimanapun tiga lagi rakannya sempat melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit berhampiran, katanya kepada pemberita di sini Isnin.

"Hasil daripada penangkapan itu, kita berjaya menemui pasport milik suspek, wang tunai pelbagai negara berjumlah RM523, cermin mata, jam tangan dan gelang tangan berwarna putih," katanya.

Hasil siasatan polis, katanya seorang lagi suspek berusia 47 tahun berjaya ditangkap pada 7.30 pagi keesokkannya dengan polis menemui sepucuk revolver, seutas rantai, jam tangan, sebentuk loket berbatu putih, dua buah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM451.

Pemeriksaan polis juga mendapati kereta yang dinaiki suspek disamun di Sungai Mati, Ledang, katanya.

Mokhtar berkata polis sedang memburu dua lagi suspek dan mereka dipercayai terlibat dengan 11 kes samun di daerah Batu Pahat, Ledang, Pontian dan Kota Tinggi.

Sementara itu, katanya dua lelaki berusia 32 dan 34 ditangkap pada 10 malam Khamis lalu di Permas Jaya ketika menaiki sebuah kereta Toyota Alphard yang menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dilaporkan dicuri di Kelana Jaya, Selangor.

Beliau berkata siasatan terhadap lelaki berkenaan membawa kepada penemuan dua buah Toyota Alphard, sebuah Honda dan sebuah Toyota Hilux yang dilaporkan dicuri sekitar Lembah Klang. Kesemua kereta dianggarkan bernilai RM1.3 juta.

Katanya kedua-dua suspek akan diserahkan kepada Polis Kontinjen Selangor untuk siasatan lanjut. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...