Friday, March 26, 2010

Data pekerja asing dikumpul


JOHOR BAHRU 25 Mac – Polis Kontinjen Johor merancang mengumpul dan menghimpunkan data peribadi kesemua pekerja asing di negeri ini tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, sehubungan itu pihaknya akan menubuhkan satu pasukan gerakan am khusus untuk menjalankan tugas-tugas pengumpulan data tersebut.

Beliau berkata, data tersebut bagi memudahkan pihak berkuasa memantau perkembangan semasa pekerja asing berkenaan termasuk yang melibatkan isu jenayah.

Menurutnya, usaha pengumpulan data itu akan dilakukan secara konsisten dan berterusan dari semasa ke semasa.

“Kita berharap agar pihak majikan akan memberikan kerjasama kepada polis ketika proses pengumpulan data itu kelak.

“Kita juga akan mengumpulkan data mereka sama ada yang bekerja secara sah atau sebaliknya dan data itu disimpan di dalam sebuah pangkalan data,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Polis Ke-203 peringkat kontinjen Johor di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 11 anggota dari Kontinjen Johor yang merupakan sebahagian daripada 140 pegawai kanan dan anggota pangkat rendah menerima surat penghargaan Ketua Polis Negara berserta Pingat Peringatan Kerajaan Persekutuan kerana menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Timor Leste mulai 1 Oktober 2006 hingga 31 Mac 2007.

Selain itu, seramai 103 orang awam termasuk anggota polis menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Johor manakala Balai Polis Gelang Patah turut dinobatkan sebagai Balai Polis Contoh.

Mengulas indeks jenayah di Johor, Jalaluddin memberitahu, kadar jenayah di negeri ini turun 19.09 peratus dalam tempoh Januari hingga 23 Mac tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, seramai 1,290 penjenayah berjaya diberkas dan 79 daripadanya merupakan warga asing. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...