Thursday, March 25, 2010

Buruh ganggu wanita ditetak

KLANG: Seorang pekerja kontrak warga Indonesia maut selepas ditetak dipercayai menggunakan senjata tajam oleh seorang lelaki di sebuah rumah kongsi di Bandar Puteri, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi, mangsa Matluwi Markawi, 44, mati ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini akibat parah di dada dan bahu.
Difahamkan kejadian itu berpunca daripada tindakan mangsa yang sering mengganggu kakak angkat suspek, sebelum suspek dipercayai bertindak menyerang mangsa yang sedang tidur di rumah kongsi menggunakan celoret atau sabit.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata polis dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh anggota pondok polis HTAR sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian bagi menyiasat kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 8.30 pagi ketika mangsa sedang tidur di rumah kongsi di situ.

“Sejurus kemudian datang seorang lelaki yang tinggal kira-kira 20 meter dari rumah mangsa bertindak menyerang mangsa menggunakan senjata tajam.

“Mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri parah ditetak suspek sebelum dia dikejarkan ke HTAR,” katanya di sini, semalam. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...