Sunday, March 7, 2010

Amah warga Indonesia diarah ke pusat perlindungan kedutaan

KUALA TERENGGANU 7 Mac – Mahkamah Juvana di sini hari ini mengarahkan seorang pembantu rumah warga Indonesia bawah umur yang dituduh mencuri beberapa barangan milik majikannya pada 6 Januari lalu dihantar ke Pusat Perlindungan di Kedutaan Indonesia, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, bagi tempoh antara setahun hingga tiga tahun.

Majistret Wan Nor Aklima Wan Salleh membuat keputusan itu setelah tertuduh yang berumur 13 tahun sembilan bulan, dari Palembang, Indonesia, mengaku bersalah mencuri dua buah komputer riba, sebuah modem jalur lebar, satu unit tetikus dan sebuah beg milik majikannya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara pukul 10 pagi hingga 10.30 pagi pada 6 Januari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 380, Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Tertuduh yang sebelum ini dikaitkan dengan kejadian membakar rumah majikannya di Taman Murni Indah, Seberang Takir, Kuala Terengganu, mengaku bersalah di mahkamah yang sama pada 13 Januari atas tuduhan mencuri beberapa barangan milik majikannya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...