Sunday, March 21, 2010

30 warga asing termasuk GRO ditahan


JOHOR BAHRU 20 Mac - Seramai 30 warga asing termasuk 12 wanita Filipina yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) ditahan Jabatan Imigresen dalam tiga serbuan di sekitar bandar raya di sini malam tadi.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen negeri, Abdul Aziz Mat Sab berkata, ketiga-tiga operasi 'Ops Sayang', 'Ops Selera' dan 'Ops Sapu' yang dijalankan mulai pukul 9 malam hingga 4 pagi itu disertai seramai 28 pegawai dan anggota.
SEBAHAGIAN daripada GRO yang ditangkap oleh pihak Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor dalam 'Ops Sayang' di Johor Bahru, semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama 'Ops Sayang' di sebuah kelab malam di Taman Nusa Bestari, seramai 12 GRO warga Filipina ditahan ketika sedang leka melayan pelanggan.

"Kesemua GRO yang ditahan berusia antara 22 hingga 30 tahun. Turut ditahan, seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an dipercayai menjadi 'bapa ayam'.

"Serbuan dibuat selepas kami mendapat aduan daripada orang awam yang mengesyaki premis itu menjalankan kegiatan tidak bermoral. Mereka kini disiasat di bawah Peraturan 39 (b) Akta Imigresen 1959/ 1963 kerana melanggar syarat permit," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, dalam 'Ops Selera' di sebuah restoran di Taman Anggerik, tujuh warga asing yang bekerja sebagai tukang masak, pembantu kedai dan pelayan turut ditahan.

Mereka terdiri daripada lima warga Indonesia termasuk dua wanita dan dua lelaki warga Bangladesh yang berumur 23 hingga 38 tahun.

Sementara itu, dalam 'Ops Sapu', pihaknya menahan 11 lelaki warga Kemboja di sebuah rumah di taman yang sama.
Abdul Aziz memberitahu, warga asing itu berusia antara 19 hingga 29 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan.

"Kesemua warga asing yang ditahan dalam 'Ops Selera' dan 'Ops Sapu' kini disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu kesalahan masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...