Saturday, March 13, 2010

30 khemah PATI dibongkar

KUALA LUMPUR 12 Mac - Polis berjaya membongkar 30 khemah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dijadikan sebagai tempat tidur selepas seharian bekerja di Bukit Segambut, di sini awal pagi semalam.

 WAN Abdul Bari menunjukkan gambar khemah yang dijadikan tempat tidur PATI di Bukit Segambut sewaktu sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. 

Seramai 30 PATI warga Indonesia dan Bangladesh itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 3 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, antara yang ditahan termasuklah lapan lelaki Indonesia, seorang wanita Indonesia dan 21 lelaki Bangladesh.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 19 tahun dan 39 tahun serta didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Modus operandi PATI kali ini dilihat berbeza dengan sebelum ini kerana mereka menjadikan khemah-khemah terbabit sebagai tempat tidur pada waktu malam dan keluar bekerja pada waktu siang.

"Kesemua mereka bekerja di sektor pembinaan dan dipercayai tinggal di bukit berkenaan sejak bulan lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelas Wan Abdul Bari, semua tahanan tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam 17 kes pecah dan curi kenderaan melibatkan kerugian sebanyak RM15,000, di sekitar Lembah Klang dan Seremban.

Katanya, suspek yang berusia 25 tahun itu direman tiga hari bermula hari ini selepas ditahan di Flat Sri Pahang, di sini petang kelmarin.

"Polis turut merampas tiga buah motosikal yang dilaporkan hilang di Seremban, Dang Wangi dan Jinjang, seutas rantai emas dan cermin mata berjenama," katanya.

Dalam kes lain, kelmarin, polis merampas 100 unit komputer yang dijadikan mesin perjudian bernilai RM200,000 dalam serbuan berasingan di lima premis di sekitar Brickfields.

Wan Abdul Bari memberitahu, seramai 32 orang berusia antara 21 tahun dam 62 tahun ditahan dalam serbuan dari pukul 8 malam hingga 11 malam. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...