Saturday, March 27, 2010

22 Pati Ditahan Di Tapak Pembinaan Di Batu Feringgi

Gambar hiasan

PULAU PINANG, 27 Mac (Bernama) -- Polis Daerah Timur Laut menahan seramai 22 pendatang asing tanpa izin di sebuah tapak pembinaan di kawasan Batu Feringgi di sini pagi Sabtu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu, pendatang tanpa izin itu ditahan ketika sedang bekerja di tapak pembinaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kok Meng berkata kumpulan warga asing terbabit dikatakan memberi kerjasama yang baik kepada pasukan polis dan menyerah diri sebaik melihat kereta pasukan polis memasuki kawasan berkenaan.

Katanya dalam serbuan berkenaan, pihaknya menahan 22 warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat permit.

"20 daripada mereka adalah dari Indonesia manakala dua lagi dari Bangladesh yang berusia antara 20 hingga 40 tahun," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata pihaknya sudah melakukan intipan di kawasan berkenaan sejak sekian lama selepas menerima maklumat orang ramai.

Gan berkata pihak turut menahan seorang "pelindung" bagi mengenalpasti identiti majikan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap majikan terbabit kerana menggaji pekerja yang tidak mempunyai dokumen sah.

"Kesemua warga asing itu akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 iaitu bekerja tanpa permit yang sah dan Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1959/1963 kerana melanggar syarat pas dan permit.

"Majikan pula boleh didakwa di bawah Seksyen 55 Peraturan Imigresen 1959/1963 kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah," katanya.

Kes berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen selepas siasatan selesai untuk tindakan lanjut. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...