Sunday, March 7, 2010

15 penempatan warga asing diroboh


BUKIT JELUTONG – Bertindak atas maklumat dan aduan orang ramai, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan operasi meroboh struktur tanpa kebenaran di bawah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB), Seksyen U8, Shah Alam.

Struktur tanpa kebenaran itu dirobohkan berikutan aduan orang ramai, terutamanya penduduk tempatan sekitar Bukit Jelutong mengenai masalah pencemaran bau dan kewujudan penempatan asing tanpa kebenaran.

Ketua Operasi itu, Dr Daroyah Alwi berkata, operasi diadakan bagi menangani masalah pencemaran bau dan juga kewujudan penempatan asing tanpa kebenaran yang didakwa penduduk didirikan oleh warga asing bagi menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan di kawasan tersebut.

”Masalah ini diadukan oleh masyarakat setempat di kawasan sekitar Bukit Jelutong, Seksyen U8 yang menghadapi pencemaran bau daripada penggunaan baja organik kerana aktiviti pertanian tanpa kebenaran yang mencemar udara di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu oleh warga tempatan.

”Tindakan merobohkan struktur bangunan diambil bagi mengatasi masalah pencemaran dan juga isu keselamatan akibat kehadiran pendatang tanpa izin di kawasan tersebut,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi tersebut, 15 struktur rumah kayu yang didirikan oleh pendatang asing secara tanpa kebenaran dirobohkan.

"Empat stor turut dirobohkan dan struktur nurseri yang dibina tanpa kebenaran oleh petani dan hanya sebuah stor sahaja tidak dirobohkan bagi menempatkan kelengkapan mereka di kawasan itu seperti baja,” katanya.

Daroyah berkata, selain daripada aktiviti pertanian yang dijalankan secara tanpa kebenaran, dipercayai pihak yang terlibat juga melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka yang menyebabkan berlakunya pencemaran udara yang mengganggu kehidupan dan keselesaan penduduk di kawasan sekitar.

"MBSA juga turut memberikan notis kepada lapan pengusaha pertanian dan tiga penternak lembu yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, antara aktiviti pertanian yang dijalankan adalah penanaman buah, sayur, limau nipis, betik, tanaman orkid yang dilakukan secara bertukar di atas tanah berkeluasan empat hektar.

”Semasa operasi diadakan, tidak terdapat sebarang halangan kerana penghuni di kawasan tersebut dipercayai warga asing mengosongkan kawasan tersebut dan struktur tersebut telah dirobohkan dengan menggunakan jentolak,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 19 berkata, operasi itu melibatkan penyertaan beberapa agensi kerajaan lain seperti Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertanian Negeri Selangor serta jabatan dalaman MBSA.

”MPP juga turut mengatur pertemuan antara petani dan penternak bersama Persatuan Penduduk Bukit Jelutong iaitu pada 26 Februari lalu, sebelum tindakan diambil bertujuan untuk memberikan peluang kepada kedua pihak mendengar masalah yang dihadapi antara satu sama lain.

”Dalam pertemuan itu, petani dan penternak dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penduduk berikutan aktiviti ekonomi yang dilakukan oleh mereka menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk,” katanya.

Daroyah berkata, dalam pertemuan itu, petani dapat menjelaskan aktiviti pertanian yang diusahakan sejak 15 tahun lalu dan penternakan yang dilakukan sejak 20 tahun lalu tanpa menggunakan perkhidmatan warga asing.

”Bagaimanapun, petani berjanji tidak akan menggunakan baja organik dan tidak akan mengganggu penduduk dengan aktiviti pembakaran dan sebagainya untuk memberikan keselesaan kepada penduduk.

”Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) MBSA dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh kedua pihak,” katanya.

Menurutnya, kini masalah itu sedang dalam proses untuk tindakan dan menunggu rayuan yang dibuat oleh petani dan penternak, malah MBSA akan melakukan penambahbaikan aktiviti pertanian yang dilakukan kerana kawasan itu sangat subur.

”Sebagai MPP, saya akan sentiasa bekerjasama dengan MBS dan ADUN Kota Anggerik untuk membantu dan menyelesaikan masalah yang dihadapi sejak beberapa tahun lalu,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...