Friday, March 26, 2010

02,769 dapat pekerjaan hasil inisiatif JMC


CYBERJAYA 25 Mac - Seramai 102,769 orang berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh 15 bulan pertama bermula Januari 2009 hingga 18 Mac lalu hasil inisiatif Pusat Jobs Malaysia (JMC) yang ditubuhkan kerajaan.


Mereka adalah sebahagian daripada 387,210 pencari kerja yang mendaftar dengan 11 buah JMC di seluruh negara dan pada masa sama pusat itu berjaya mendaftarkan 159,968 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor.

Najib Tun Razak menandatangani plak sebagai tanda perasmian Pusat Jobs Malaysia di Cyberjaya, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan JMC memberikan mesej yang jelas bahawa kerajaan sentiasa meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

''Kerajaan amat komited membantu pencari kerja dengan menyediakan infrastruktur canggih seperti JMC.

''Ia bukan hanya slogan dan retorik sebaliknya sentiasa dibuktikan dengan tindakan sebenar dalam tempoh yang singat.
''Saya yakin dan percaya agensi kerajaan, majikan swasta dan seluruh rakyat dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan JMC dan portal Jobs Malaysia sebagai salah satu hab utama mendapatkan pekerjaan dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan secara serentak 11 JMC seluruh negara di Pusat Jobs Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Penubuhan JMC merupakan cetusan idea Perdana Menteri yang diumumkan semasa pembentangan pakej rangsangan ekonomi kedua pada 1 Jun 2009.

Selain Cyberjaya, Jabatan Tenaga Kerja menubuhkan JMC di Pelabuhan Klang, Kelana Jaya, Danga Bay Johor Bahru, Segamat, Sungai Petani, Kota Bharu, Ipoh, Georgetown, Kuching dan Kota Kinabalu.

Penubuhan JMC menelan kos sebanyak RM18.1 juta.

Menurut Najib, penubuhan JMC bertujuan melengkapkan infrastruktur portal Jobs Malaysia.

Katanya, pusat tersebut menggunakan pendekatan human touch dan menjadikan portal Jobs Malaysia sebagai enabler.
Tambah beliau, JMC berfungsi untuk menyediakan perkhidmatan penjodohan kerja secara atas talian, mengendalikan proses temuduga dan mewujudkan hubungan dengan majikan bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

''Saya difahamkan JMC turut menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kerjaya selain menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, menyelia latihan kemahiran awam dan swasta, sekolah, jabatan kerajaan dan swasta," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, hasil dua pakej rangsangan ekonomi, kerajaan berjaya meminimumkan pekerja yang diberhentikan kepada 46,860 orang berbanding jangkaan berjumlah 200,000 orang.

Katanya, ia adalah hasil tiga program utama Kementerian Sumber Manusia iaitu penubuhan bilik gerakan pemantauan pemberhentian di kementerian itu dan 80 pejabat Tenaga Kerja di seluruh negara.

Kedua, kata beliau, ia dicapai melalui program penempatan pekerjaan (3P) yang berjaya menempatkan semula 22,443 orang pekerja tempatan ke pelbagai sektor pekerjaan di seluruh negara.

Katanya, program ketiga adalah 'latih dan tempat' bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehkerjaan dengan 39,035 peserta telah didaftarkan mengikuti kursus membabitkan 82 jenis kemahiran dalam 17 sektor industri.

''Daripada jumlah itu, sehingga hari ini seramai 20,610 pekerja berjaya ditempatkan dalam pasaran kerajaan dan ia akan terus bertambah apabila program tersebut selesai," katanya.

Dalam hal ini, Perdana Menteri mahu pencari kerja berusaha meningkatkan ilmu dan kemahiran yang bersesuaian dengan kehendak pasaran pekerjaan, peredaran masa dan perubahan persekitaran.

''Kita mesti terus mempertingkatkan mutu kerja dan kemahiran kita bersama supaya kebolehan kita dapat disesuaikan dengan peredaran zaman yang dimensi ekonominya semakin mencabar," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...