Tuesday, February 23, 2010

Wilayah Persekutuan Tidak Akan Beri Lesen Penjaja Kepada Warga Asing

PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata warga asing tidak akan diberi lesen untuk menjalankan perniagaan di Wilayah Persekutuan bagi menjamin sumber pendapatan penjaja tempatan.

"Sekira diberikan, saya yakin pusat penjajaan 100 peratus akan dikuasai oleh mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa "Green Cities: Putrajaya Urban Conference Series 2010 di sini pada Selasa.

Katanya tidak seperti yang berlaku di Selangor yang begitu terbuka di mana pemegang kad pengenalan merah juga diberikan lesen penjaja.

"Kita sama sekali tidak akan memberi mana-mana ruang kepada warga asing yang bukan rakyat Malaysia untuk menjaja," katanya.

Katanya ketika ini jumlah warga asing yang diambil bekerja di pusat penjajaan dan menjaja sama ada secara haram atau menggunakan lesen penjaja tempatan, adalah seimbang.

Beliau diminta mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas terhadap warga asing yang didapati menjalankan perniagaan.

Raja Nong Chik berkata semua penjaja di Wilayah Persekutuan akan dilesenkan dalam tempoh tertentu dan ia dapat diselaraskan apabila pelesenan dibuat secara menyeluruh kelak.

"Buat masa sekarang ia tidak dapat dilakukan kerana akan berlaku banyak protes sebab ramai rakyat Kuala Lumpur bergantung pada kegiatan penjajaan sebagai sumber pendapatan mereka dengan ada yang menjaja di kawasan berhampiran rumah," katanya.

Beliau turut meminta kerjasama penjaja tempatan supaya tidak "menjaja" lesen mereka kepada warga asing.

"Ia bukan saja berlaku di kalangan penjaja di Chow Kit (penjaja Melayu) tetapi di Petaling Street (penjaja Cina) juga. Ini bukan AliBaba lagi tapi BabaRahman."

Namun, Raja Nong Chik berkata terdapat juga permintaan daripada peniaga tempatan di pasar-pasar yang menggunakan pekerja asing bagi membuat kerja-kerja yang lebih berat.

Katanya satu konsortium munkin akan ditubuhkan bagi menguruskan pekerja warga asing di pasar-pasar itu kelak seperti yang diamalkan di pasar-pasar borong ketika ini. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...