Thursday, February 18, 2010

Utusan : Lapor kepada Patree masalah PATI

PUTRAJAYA 17 Feb. - Orang ramai yang berdepan masalah pendatang asing khususnya yang berkhidmat sebagai pembantu rumah boleh mendapatkan bantuan daripada Pertubuhan Malaysia Bebas PATI (Patree).

Presidennya, Zul Azhar Cha (gambar) berkata, Patree ditubuhkan tahun lepas untuk memberi khidmat nasihat dan runding cara kepada majikan, pekerja serta orang ramai yang berdepan dengan masalah pekerja asing.

"Patree ditubuhkan untuk melindungi hak majikan terutamanya mereka yang menggunakan khidmat pembantu rumah asing dan ia boleh dihubungi melalui talian 012-7777548.

"Kita akan berperanan sebagai orang tengah dengan merujuk kes berkenaan kepada agensi yang sesuai untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pendatang tanpa izin di negara ini. Zul Azhar berkata, Patree akan bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk membanteras kemasukan PATI ke negara ini.

"Kerjasama daripada orang ramai amat penting untuk membanteras kebanjiran PATI ke negara ini.
"Setiap orang perlu melaporkan kepada pihak berkuasa jika jiran mereka menggunakan pembantu rumah asing tanpa izin," katanya.

Menurutnya, Patree pada masa yang sama turut memberi bantuan kepada pekerja asing yang tertipu atau teraniaya di negara ini.

"Kita akan pastikan gejala penipuan pekerja asing tidak akan berterusan sehingga menjejaskan imej baik negara.

"Kita tidak mahu negara lain berhenti membekalkan pekerja kepada kita kerana tidak puas hati dengan kebajikan rakyat mereka di negara ini," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...