Sunday, February 21, 2010

Tujuh warga Indonesia diberkas

MUAR 20 Feb. - Kecekapan polis berjaya menumpaskan satu kumpulan samun pekerja asing dengan penahanan tujuh lelaki warga Indonesia dalam beberapa serbuan di sekitar Bakri di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Ramli berkata, kesemua mereka yang berusia 20-an hingga 30-an itu disyaki terlibat dalam lima kes samun sejak akhir tahun lalu.

Beliau berkata, Isnin lalu, 100 pekerja di sebuah asrama di Bukit Pasir, Isnin lalu, kerugian kira-kira RM3,000 setelah disamun oleh kumpulan itu.

"Operasi yang dinamakan Ops Rantau Perabot Bakri ini dijalankan dari pukul 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi bermula dengan penangkapan dua suspek di sebuah rumah di Bakri sebelum lima lagi ditahan di lokasi berasingan.

"Hasil pemeriksaan mendapati enam daripada suspek itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan seorang lagi permit kerja tamat tempoh," katanya pada sidang akhbar di sini.

Mohd. Nasir berkata, penahanan suspek terbabit turut membawa kepada penemuan empat parang panjang, masing-masing satu topeng muka dan sapu tangan yang digunakan dalam jenayah berkenaan.

Menurutnya, antara hasil rampasan dalam operasi itu adalah enam telefon bimbit, sebuah radio, sebuah pemain cakera video digital (DVD) dan wang tunai Bangladesh 40 Taka.

"Modus operandi kumpulan itu adalah dengan melakukan samun pada waktu malam dan kemudian menghilangkan diri di kawasan belukar tanpa menggunakan sebarang kenderaan.

"Mereka menyasarkan asrama pekerja asing warga Bangladesh dan Nepal selain orang perseorangan di tepi jalan di sekitar Bakri," katanya sambil memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes ragut dengan tertangkapnya dua beradik dan seorang wanita di sini Selasa lalu.

"Dua lelaki itu masing-masing berusia 24 dan 27 tahun dan wanita yang berumur 31 tahun itu merupakan teman wanita salah seorang mereka," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek yang berasal dari Tangkak turut positif dadah dan pihaknya juga menemui sejumlah barangan kemas yang telah dilebur. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...