Sunday, February 28, 2010

Tangani isu pembantu rumah secara rasional

Rohaniza Idris

 

Permintaan gaji RM800 sebulan amah Indonesia tidak seimbang dengan kemahiran

SUDAH hampir 10 bulan kerajaan Indonesia melaksanakan pembekuan penghantaran tenaga kerjanya ke Malaysia yang dilaksanakan sejak Jun tahun lalu berikutan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan di negara ini.

Sehingga artikel ini ditulis tidak ada sebarang tanda penarikan balik pembekuan itu, sedangkan permintaan terhadap tenaga kerja warga Indonesia terutama sebagai pembantu rumah meningkat.

Malah, majikan yang menggunakan khidmat pembantu rumah Indonesia ketika ini juga bakal menghadapi masalah besar apabila pasport pekerja yang tamat dan pulang ke republik itu, juga tidak akan diperbaharui berikutan sekatan itu.

Difahamkan, mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia�Indonesia masih belum mencapai keputusan mengenai struktur kos dan gaji pembantu rumah, dan pada masa sama pembekuan itu masih diteruskan.

Beberapa siri perbincangan dan mesyuarat diadakan kedua-dua pihak, termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang diadakan di Indonesia dan Malaysia.

Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang diadakan di Malaysia November tahun lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam dilaporkan, berkata struktur kos membawa masuk pembantu rumah dari Indonesia ke negara ini akan diputuskan selewat-lewatnya akhir tahun.

Namun, sehingga kini tiada sebarang keputusan mengenai perkara itu dicapai kedua-dua pihak walaupun beberapa perkara lain sudah diputuskan untuk dilaksanakan seperti persetujuan kedua-dua negara membenarkan pembantu rumah Indonesia diberi cuti sehari dalam seminggu dan mereka juga dibenarkan menyimpan pasport sendiri ketika berada di negara ini. Mesyuarat jawatankuasa itu pada 15 Ogos tahun lalu juga bersetuju cuti itu akan berkuat kuasa selepas Akta Kerja 1955 dipinda.

Terbaru, khabarnya Malaysia mahu memuktamadkan mesyuarat berkenaan, walaupun Indonesia dilihat tidak serius menyelesaikan masalah struktur kos pembantu rumah.

Sesetengah pihak mencadangkan kerajaan mencari sumber tenaga kerja negara lain jika Indonesia berkeras mahu gaji pembantu rumah sebanyak RM800 sebulan.

Presiden Persatuan Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Alwi Bavutty, berkata persatuan berpendapat kerajaan tidak perlu melayan Indonesia jika mereka tetap mahukan gaji pembantu rumah pada kadar RM800 sebulan.

"Papa pernah mencadangkan kerajaan beralih kepada sumber tenaga kerja di negara seperti Timor Leste, Papua New Guinea, Sri Lanka, Bangladesh dan Nepal kerana mereka menawarkan gaji lebih munasabah," katanya yang mendakwa ejen pembantu rumah di Indonesia juga ternanti-nanti kerajaan mereka menarik balik pembekuan penghantaran pembantu rumah kerana ramai warganya mendapat latihan dalam pekerjaan itu menunggu untuk masuk dalam pasaran kerja berkenaan.

Difahamkan, sebahagian agensi di Malaysia sudah membayar ratusan ribu ringgit kepada agensi di Indonesia untuk penghantaran pembantu rumah dan kira-kira 4,000 warga Indonesia sudah berdaftar dengan agensi di republik itu bersedia berkhidmat serta-merta di negara ini.

Alwi memberitahu persatuan itu turut mencadangkan pembantu rumah warga Indonesia hanya boleh bekerja dengan majikan beragama Islam di negara ini dengan gaji antara RM500 hingga RM650 sebulan.

Katanya, langkah itu bagi menghentikan amalan pembantu rumah beragama Islam berkhidmat dengan majikan bukan Islam seperti dilaksanakan sekarang kerana ia menimbulkan banyak masalah berikutan berbeza budaya dan agama sehingga berlaku penderaan.

"Sudah banyak cadang dikemukakan dan kita harap kerajaan akan terus mengadakan mesyuarat walaupun dalam kebanyakan perbincangan Indonesia dilihat tidak serius untuk menanganinya.

Sepatutnya Indonesia perlu rasional dalam isu pembantu rumah dan pembekuan yang dilaksanakan kerana masalah satu dua kes penderaan warga mereka oleh majikan di Malaysia tidak sepatutnya jadi ukuran untuk menaikkan kos tenaga kerja dalam sektor berkenaan.

"Kes penderaan dan insiden membabitkan pembantu rumah bukannya besar. Malah, jika diikutkan masalah dihadapi majikan Malaysia akibat pembantu rumah lari lebih banyak dilaporkan dan kesannya lebih besar," katanya yang berharap mesyuarat kedua-dua negara dalam isu berkenaan akan menguntungkan semua pihak terutama ejen pembantu rumah yang hampir gulung tikar.

Pendapat sama disuarakan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan yang mengharapkan penyelesaian kepada kajian semula memorandum persefahaman (MoU) mengenai penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia menguntungkan kedua-dua belah pihak di Malaysia dan Indonesia.

Katanya, di satu pihak, tenaga kerja Indonesia membantu Malaysia dalam pembangunan ekonominya, manakala di pihak lain pula Malaysia memberi peluang pekerjaan kepada warga Indonesia, yang kemudian menyumbang kepada ekonomi Indonesia.

"Sebagai negara sahabat yang berasal daripada saudara serumpun dan mempunyai banyak persamaan dalam budaya dan bahasa, Malaysia dan Indonesia seharusnya sentiasa menangani apa juga permasalahan dihadapi dengan matlamat akhir penyelesaiannya ialah kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara dan rakyatnya," katanya.

Sehubungan itu, Syed Munshe Afdzaruddin berkata, cadangan Indonesia supaya gaji minimum RM800 (Rp2.2 juta) sebulan ditetapkan bagi pembantu rumah Indonesia dikaji kewajarannya dengan mengambil kira keupayaan majikan di Malaysia untuk membayar upah sebanyak itu dan sama ada upah itu setimpal pula dengan produk yang mereka peroleh.

Apa yang pasti, pembekuan berkenaan dilihat menambahkan lagi kes kemasukan pembantu rumah Indonesia secara haram yang didalangi agensi tidak berdaftar.

Agensi haram itu membawa masuk mereka yang mahu menjadi pembantu rumah sah kerana menggunakan visa pelancong. Selepas tiba di negara ini, mereka terus diserapkan dalam pasaran kerja dan permit diambil selepas itu.

Kemasukan pembantu rumah oleh agensi haram itu dikhuatiri penyebab masalah susulan timbul pembantu rumah melarikan diri, tidak pandai melakukan kerja rumah kerana tidak diberi latihan yang cukup, kes kecurian dan penderaan anak majikan.

Kesimpulannya, selagi isu pembekuan dan gaji tidak diselesaikan, kedua-dua negara sebenarnya rugi dan masalah yang dicetuskan pembantu rumah tidak dapat diselesaikan sampai bila-bila. Malah, lebih teruk lagi mereka yang mahu menjadi majikan dan yang sudah pun menggajikan pembantu rumah berasa tersepit. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...