Friday, February 19, 2010

Saluran bantu pekerja, majikan

PUTRAJAYA: Majikan kepada pembantu rumah dan pekerja asing yang teraniaya, kini mempunyai saluran khas mendapatkan khidmat nasihat bagi menyelesaikan masalah supaya semua pihak berkaitan diberikan perlindungan sewajarnya.

Usaha penyelesaian itu muncul selepas penubuhan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Pertubuhan Malaysia Bebas-Pati (Patree) sejak tahun lalu yang bermatlamat melindungi majikan khususnya kepada pembantu rumah dan pekerja asing teraniaya yang bekerja di negara ini.

Presidennya, Zul Azhar Cha, berkata sebelum ini, majikan atau pekerja teraniaya tidak mempunyai tempat khas untuk mengadu sehingga kebanyakan mereka terpaksa menanggung kerugian akibat tindakan tidak bertanggungjawab agensi dan ejen mengambil pekerja asing.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan kerajaan dan mana-mana agensi terbabit bagi membantu menangani masalah membabitkan pekerja asing di Malaysia.

“Usaha ini bagi mengelakkan kejadian seperti pembantu rumah didera, majikan ditipu dan pembantu rumah lari meninggalkan majikan tidak terus berleluasa.

“Jika ada kes pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini tidak mendapat pekerjaan yang dijanjikan, mereka boleh membuat aduan bagi memastikan gejala seumpama ini tidak berlaku pada masa depan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, semalam.



Zul Azhar berkata, beliau tidak mahu isu pekerja asing tidur di bawah jambatan, pembantu rumah didera, majikan ditipu terus berleluasa. Beliau berkata, pihaknya akan memastikan gejala itu tidak berlarutan kerana ia akan merosakkan nama baik Malaysia di kalangan pembekal pekerja asing termasuk Indonesia, Bangladesh dan India. “Sekiranya negara ini menghentikan pembekalan tenaga kerja asing ke negara ini, apa yang akan terjadi pada industri. “Apa yang penting di sini, kita dapat menjaga hubungan baik dua hala antara negara berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Zul Azhar berkata, khidmat nasihat dan runding cara yang disediakan bukan hanya khas untuk pembantu rumah dan majikan, tetapi turut membabitkan pekerja di sektor lain seperti perladangan, perkilangan atau perkhidmatan.

“Sekiranya ada pekerja asing dalam bidang perladangan yang ditipu majikan atau agensi seperti tidak mendapat gaji dijanjikan seperti yang termaktub dalam perjanjian, mereka juga boleh membuat aduan kepada Patree, kita akan bantu dan lindungi mereka.

“Patree akan menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah berkaitan golongan ini,” katanya.

Katanya, mengikut pelan induk penubuhan Patree, pertubuhan itu akan menyediakan satu pangkalan data khusus mengenai majikan dan pekerja asing di negara ini bagi membolehkan mereka melakukan pemantauan dengan lebih terperinci terhadap majikan dan pekerja.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai masalah dengan pekerja asing khususnya pembantu rumah boleh merujuk kepada Patree dengan menghantar SMS atau menelefon di talian 012-7777548 serta menghantar e-mel ke zulazharcha@ymail.com. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...