Wednesday, February 10, 2010

PRESMA Tawar 25,000 Jawatan Kosong Kepada Rakyat Tempatan

BUTTERWORTH, 10 Feb (Bernama) -- Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menawarkan 25,000 peluang pekerjaan di seluruh negara kepada penduduk tempatan dengan tawaran gaji yang menarik.

Presidennya Noorul Hassan Saul Hameed berkata pekerjaan berkenaan disediakan di lebih 2,000 restoran milik anggotanya di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Pekerjaan yang ditawarkan ahli kami adalah seperti pembantu kedai dengan kadar gaji antara RM800 hingga RM1,300, juruwang (RM1,000 hingga RM1,300), penyelia dan tukang masak (1,500 hingga RM2,500).

"Pekerja akan turut menikmati kemudahan termaktub dalam undang-undang buruh antaranya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Baru PRESMA Wilayah Utara di sini Rabu.

Beliau berkata langkah menawarkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan adalah selaras dengan usaha kerajaan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

"Sehingga sekarang kira-kira 70 peratus pekerja di restoran ahli PRESMA adalah rakyat asing dan kita sedang berusaha mengurangkan jumlah itu dengan menawarkan jawatan kosong kepada penduduk tempatan," kata Noorul Hassan.

Beliau berkata PRESMA juga akan menyerahkan memorandum mengenai maklumat diperlukan kerajaan berkaitan pekerja asing kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada akhir bulan ini.

Antara maklumat diperlukan kerajaan yang sedang kami kumpul adalah seperti jumlah pekerja asing dan tempoh mereka sepatutnya pulang, katanya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...