Tuesday, February 2, 2010

Polis Marin Selangor Tahan Kapten Feri Dan 48 Pendatang Tanpa Izin

PELABUHAN KLANG, 2 Feb (Bernama) -- Polis Marin Selangor berjaya menahan 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menyusup keluar dari negara ini di perairan Bagan Hailam, dekat Pulau Ketam, hari Selasa.


Dalam kejadian pukul 9.30 pagi tadi itu, sembilan krew feri termasuk kaptennya yang juga warga Indonesia berusia 40-an turut ditahan.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Pelabuhan Klang, DSP Norzaid Muhammad Said, berkata kesemua PATI berkenaan ditahan dalam feri penumpang berkenaan yang dalam perjalanan ke Tanjung Balai Asahan, Indonesia.

"Ketika pemeriksaan, pihak kami mendapati kesemua PATI berkenaan bersembunyi di dalam sebuah ruang khas yang diletakkan di bawah bilik enjin feri tersebut bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Hasil siasatan mendapati kesemuanya tidak mempunyai dokumen yang sah atau tamat tempoh," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Pangkalan Polis Marin Klang di sini.

Beliau berkata siasatan juga mendapati setiap PATI berkenaan membayar kira-kira RM1,000 kepada sindiket terbabit untuk membawa mereka keluar.

Katanya, kesemua PATI berkenaan, yang terdiri daripada 28 lelaki dan 20 perempuan dan berumur antara 21 hingga 42 tahun diserahkan kepada polis di Balai Polis Pelabuhan Klang sebelum dikenakan tindakan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).

Menurutnya kapten feri pula ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) di bawah akta yang sama manakala feri terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Laut untuk siasatan lanjut. --BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...