Tuesday, February 2, 2010

PGM Sandakan Tahan 12 Pati Cuba Masuk Ke Sabah

SANDAKAN, 2 Feb (Bernama) -- Polis Gerakan Marin (PGM) di sini berjaya mematahkan cubaan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke daerah ini apabila mereka berjaya ditahan di pesisir Sungai Lombong di Batu 7 di sini Isnin.

Pegawai PGM Sandakan ASP Muhammad Sallam Spawi berkata turut ditahan adalah dua lelaki rakyat tempatan berusia 24 dan 33 tahun yang bertindak sebagai tekong darat dan pemandu kenderaan membawa masuk PATI warga Filipina berkenaan.

Katanya kesemua PATI yang berusia lima hingga 57 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan pada pukul 7.40 malam dan ketika itu mereka dipercayai baru sampai dari negara jiran.

"PATI berkenaan yang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita dewasa serta tiga kanak-kanak dipercayai hendak dihantar ke Kampung Bahagia di sini sebelum dibawa ke Kota Kinabalu," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Menurut beliau operasi tersebut merupakan operasi rutin yang dijalankan oleh pihaknya dalam membanteras kemasukan PATI ke Sabah melalui daerah ini dan ditumpukan di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti sebagai tempat mereka mendarat.

Beliau meminta kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam usaha membanteras kemasukan PATI dan jenayah dengan menghubungi talian 089-221423, 089-221424 atau 089-221453. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...