Thursday, February 18, 2010

Perbicaraan kes bunuh Muntik ditangguh esok

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan sehingga esok perbicaraan kes penjual air tebu yang didakwa membunuh pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani, Oktober tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Yazid Mustafa, membuat keputusan itu selepas peguam V Rajehgopal yang mewakili tertuduh, A Murugan memohon penangguhan berikutan anaknya dimasukkan ke hospital.

Seramai 43 saksi pendakwaan termasuk isteri tertuduh, D Vanitha, 29, dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula sejak 18 Januari lalu.

Murugan, 35, didakwa membunuh Muntik, 40, di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muntik yang berasal dari Surabaya meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada 26 Oktober lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd. Ghani dan Mohd Dusuki Mokhtar. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...