Tuesday, February 23, 2010

Perak Mahu Tindakan Terhadap Peniaga Asing Pasar Malam

IPOH, 23 Feb (Bernama)-- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak Selasa diarah mengambil tindakan segera "membersih" pasar-pasar malam di seluruh negeri itu daripada aktiviti perniagaan oleh warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata tindakan itu perlu diambil kerana banyak aduan diterima mengenai perkara berkenaan.

"Perkara ini jika tidak ditangani segera akan memberi kesan terhadap mata pencarian peniaga tempatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat cadangan pembangunan dan penambahbaikan tapak Bazar Bulat atau Bazar Yau Tet Shin, di sini Selasa.

Beliau berkata pasukan penguatkuasa PBT boleh menjalankan operasi bersama dengan polis dan agensi lain bagi menangani masalah itu.

Dr Mah berkata masalah itu dipercayai berpunca daripada tindakan segelintir peniaga tempatan yang menjual atau memajak lesen perniagaan mereka kepada orang lain termasuk warga asing.

"Saya menyeru peniaga tempatan agar tidak lagi memberi atau menjual lesen perniagaan yang telah diperolehi kepada kumpulan warga asing ini kerana ianya mengakibatkan bertambahnya bilangan mereka di pasar-pasar malam," katanya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...