Friday, February 12, 2010

Peniaga Cina minta kaji semula permit pekerja 5 tahun

JOHOR BAHRU 11 Feb. - Para peniaga kaum Cina di bandar raya ini meminta kerajaan mengkaji semula pemberian permit pekerja asing yang telah berkhidmat selama lima tahun di negara ini.

Mereka turut memohon kerajaan memberi kelonggaran supaya pekerja asing yang digaji itu boleh melakukan pelbagai jenis pekerjaan biarpun tidak dinyatakan di dalam permit semasa permohonan.

Sejajar dengan itu, satu memorandum berkenaan perkara tersebut akan disediakan dan dihantar kepada pihak kerajaan melalui kementerian yang terbabit dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Mok Chek Hou berkata, peniaga di kawasan ini menghadapi masalah apabila tiada pekerja tempatan yang ingin bekerja dengan mereka.

Sehubungan itu, mereka lebih suka menggaji pekerja asing, namun apa yang dibimbangkan keputusan kerajaan tidak akan menyambung permit pekerja asing yang telah lima tahun berkhidmat dengan mereka.

"Salah satu faktor mereka mengambil pekerja asing adalah kerana keengganan warga tempatan untuk bekerja dengan mereka. Apatah lagi saingan dari negara jiran, Singapura yang mempunyai kadar mata wang yang jauh lebih tinggi membuatkan ramai yang ingin bekerja di sana.

"Lagipun, lokasi Johor yang paling hampir dengan republik itu membuatkan mereka memilih untuk berkhidmat di sana," katanya semasa mempengerusikan dialog antara penjaja kawasan ini dengan MCA Johor Bahru di sini baru-baru ini.

Kira-kira 30 peniaga dan penjaja kawasan Johor Bahru menghadiri sesi dialog yang diadakan bermula pukul 8.15 malam itu. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...