Tuesday, February 16, 2010

Pendatang asing mula serah diri

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen berpuas hati dengan jumlah pendatang tanpa izin dan majikan yang 'menyerah diri' sebelum operasi besar-besaran dilakukan bagi menangkap dan mengusir pendatang asing tanpa izin, termasuk yang tinggal melebihi tempoh di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata sambutan menggalakkan itu berikutan 'tempoh pendidikan yang diwujudkan untuk mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan kepada pendatang dan majikan yang menyerah diri sebelum operasi besar-besaran dilaksanakan.

"Kita harap lebih ramai yang tampil menyerah diri dan kita akan pertimbang untuk beri hukuman yang ringan sebelum kita mengadakan operasi besar-besaran.

"Jabatan Imigresen serius dalam menangani masalah ini, kalau boleh kita mahu negara bebas daripada pendatang tanpa izin ini dan ini adalah antara usaha kita membanteras isu ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Jabatan Imigresen melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara mulai semalam bagi menangkap dan mengusir pendatang tanpa izin termasuk yang tinggal melebihi tempoh di negara ini.

Pendatang asing yang ditahan boleh dikompaun RM30 bagi setiap hari tinggal melebihi tempoh atau maksimum RM3,000, manakala yang memasuki Malaysia tanpa dokumen boleh juga dikenakan sebat.


Majikan yang didapati melindungi pendatang pula akan didakwa mengikut Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007, selain Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun, operasi itu ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak berikutan rayuan daripada pelbagai pihak kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Abdul Rahman berkata, usaha membanteras pendatang asing dan membendung kegiatan jenayah serta maksiat membabitkan mereka yang semakin berleluasa tetap akan diteruskan seperti biasa.

"Walaupun operasi besar-besaran ini ditangguhkan, tidak bermakna kita tidak membuat operasi langsung.

"Operasi penguatkuasaan tetap diteruskan seperti biasa sehingga kita mendapat keputusan Menteri untuk melaksanakan operasi besar-besaran itu," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...