Wednesday, February 3, 2010

Pembantu rumah Mindanao untuk majikan Islam

KUALA LUMPUR: Masyarakat Islam Malaysia akan dapat menggaji pembantu rumah beragama Islam dari Mindanao, Filipina, tidak lama lagi.

Ini berikutan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara pihak berkuasa Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) dan sekumpulan 20 agensi pembantu rumah asing dari Malaysia (G20) di sini hari ini.

Pengerusi G20, Datuk Raja Zulkeply Dahalan, berkata kerjasama itu akan membolehkan mereka membekalkan pembantu rumah berkualiti dengan bayaran yang munasabah, selain memenuhi permintaan daripada majikan beragama Islam.

"Kami berdepan kesukaran untuk mendapatkan pembantu rumah beragama Islam dari negara seperti Vietnam dan Kemboja. Menerusi program ini, ramai pembantu rumah beragama Islam dapat dibawa ke Malaysia untuk bekerja dengan majikan beragama Islam," katanya kepada selepas majlis menandatangani MoU itu.

Sementara itu, Setiausaha Jabatan Buruh dan Pekerjaan ARMM, Myra Mangkabung Alih, berkata program itu akan membantu banyak keluarga dalam wilayah ini untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

"Berdasarkan statistik pada 2006, 55 daripada 100 keluarga di Mindanao adalah miskin dan jumlah itu semakin meningkat setiap tahun. Melalui program ini, kami berharap dapat menyediakan pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik kepada lebih ramai orang," katanya. 

Beliau berkata, sejumlah 6,000 pembantu rumah terlatih akan diambil bekerja di Malaysia setiap tahun dan pengambilan akan bermula penghujung bulan depan dan kedua-dua pihak masih membincangkan kadar gaji yang bersesuaian. - Berita Harian

1 comment:

  1. elok juga krn disamping dpt pembantu, kita juga membantu sesama Sdr Islam. Namun bagaimana dgn harganya?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...