Sunday, February 21, 2010

Pembantu Rumah, Majikan Wajib Hadir Seminar Mulai Bulan Depan

KUALA LUMPUR: Bermula bulan depan, semua pembantu rumah asing yang baru masuk ke negara ini dan majikan mereka diwajibkan menghadiri satu seminar bagi memberi pendedahan tentang hak dan tanggungjawab mereka.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata seminar itu diharapkan dapat mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini seperti kes penderaan dan kecurian di kalangan pembantu rumah asing.

"Diharap melalui program ini, kes-kes seperti penderaan, seksaan akan dikurangkan. Pada masa yang sama ia juga boleh mewujudkan golongan pembantu rumah yang bertanggungjawab, bilangan yang melarikan diri dan terlibat dalam insiden kecurian akan kurang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Garis Panduan Penggajian Pembantu Rumah Asing di sini hari ini.

Beliau berkata seminar separuh hari yang dinamakan Seminar dan Sesi Dialog Pembantu Rumah Asing anjuran kementerian menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK)yang akan diadakan di seluruh negara itu wajib dihadiri oleh pembantu rumah dalam tempoh enam bulan selepas kemasukan mereka ke negara ini, bermula tahun ini.

"Kita akan dapatkan senarai mereka yang dapat pas masuk daripada Jabatan Imigresen dan guna senarai itu untuk minta pekerja dan majikan hadiri kursus (seminar) ini," katanya.

Subramaniam berkata selain itu, agensi pekerjaan yang bertanggungjawab membawa masuk pekerja asing ini juga akan diwajibkan menghadiri seminar itu supaya mereka dapat memainkan peranan yang lebih positif.

"Agensi pekerjaan pun diminta hadir untuk pastikan mereka juga mainkan peranan positif dan bertanggungjawab, ini kerana kadang-kadang ada aduan terhadap agensi oleh majikan," katanya.

 Beliau berkata buku Garis Panduan Penggajian Pembantu Rumah Asing juga akan diberi kepada pembantu rumah ketika seminar tersebut yang menerangkan mengenai tanggungjawab majikan, agensi pekerja dan perkara-perkara yang perlu dimasukkan dalam kontrak perkhidmatan mereka.

"Buku ini mengandungi beberapa kandungan, salah satunya ia menerangkan peranan agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, JTK dan polis serta bagaimana menangani isu-isu salah laku, selain mengandungi talian hotline, laman web dan alamat jabatan-jabatan kerajaan untuk memudahkan mereka membuat aduan," katanya.

Sementara itu, Subramaniam berkata Malaysia dan Indonesia kini berbincang untuk mencari " jalan tengah" bagi menyelesaikan isu gaji pembantu rumah selepas perbincangan sebelum ini menemui jalan buntu.

Malaysia mempertahankan pendirian bahawa gaji perlu berdasarkan faktor pasaran selain perbincangan antara majikan dan pembantu rumah manakala Indonesia mencadangkan untuk menetapkan gaji minimum RM800.

Subramaniam berkata kedua-dua negara negara mahu menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.
"Isu kini ialah kita letakkan beberapa syarat, mereka letakkan beberapa syarat, jadi kami akan mencari jalan tengah yang kita boleh mendapat persefahaman.

"Ada keinginan daripada kedua-dua pihak supaya ia diselesaikan. Saya sudah bertemu dengan pegawai-pegawai Kedutaan Indonesia dan mereka mahu menyelesaikannya secepat mungkin, kami juga mahukan perkara yang sama," katanya. - mStar online

1 comment:

  1. Mengarut jer majikan dan pembantu rumah menghadiri seminar, ada ke cuti pelepasan dari syarikat majikan yang bekerja utk hadiri seminar tuh? Pembantu rumah ni kena sedar diri la..walaupun bukan 100% tapi 99.9% memang jadikan Malaysia ni sebagai transit utk kerja dibidang lain. Pembantu rumah ni pula ada yg memiliki telefon bimbit tanpa pengetahuan majikan. Bila ditegur, muka macam masam mencuka. Siapa kau yg majikan hormat jika tidak boleh tegur? Sedarla wahai warga PATI ini, anda hanya menumpang di negara orang!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...