Thursday, February 25, 2010

Pasangan Warga Indonesia Disyaki Dalang Sindiket Palsu Dokumen Ditahan

ALOR SETAR, 25 Feb (Bernama) -- Bahagian Penguatkuasa Imigresen Negeri Kedah menahan sepasang suami isteri warga Indonesia yang disyaki dalang sindiket pemalsuan dokumen rasmi kerajaan Malaysia dalam serbuan di sebuah rumah di Subang Jaya, Selangor pada Rabu.

Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohd Zulfikar Ahmad berkata serbuan itu dilakukan berdasarkan maklumat diberikan dua lelaki warga Indonesia, masing-masing ditahan di Sungai Petani dan Seberang Perai, Pulau Pinang pada 22 dan 23 Februari lepas kerana memiliki beberapa dokumen palsu.

Pasangan suami isteri itu disyaki memperoses Mykad, I-kad (Kad Imigresen), pelekat pas lawatan kerja sementara, lesen memandu, MyPr (Kad pengenalan penduduk tetap) dan pasport Indonesia palsu, katanya kepada pemberita di sini.

Katanya turut ditahan dalam serbuan kira-kira 12.10 malam itu ialah anak perempuan pasangan itu yang berumur enam tahun.

Zulfikar berkata pihaknya merampas beberapa peralatan yang digunakan bagi memproses dan menghasilkan dokumen palsu itu iaitu komputer riba, empat unit kad kosong bercip, tujuh pasport Indonesia dan beberapa dokumen rasmi kerajaan Malaysia.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai telah beroperasi kira-kira setahun lepas. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...