Monday, February 22, 2010

Papua New Guinea, Myanmar Dan Timor Leste Sumber Baru Pembantu Rumah ?

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) mencadangkan pembantu rumah dari Papua New Guinea, Myanmar dan Timor Leste dibawa masuk ke negara ini bagi memenuhi permintaan semasa majikan yang semakin meningkat.

Presidennya, Alwi Bavutty berkata langkah itu bertujuan mempelbagaikan negara sumber pembantu rumah dan mengurangkan kebergantungan kepada beberapa negara termasuk Indonesia, Kemboja serta Filipina.

"Kita cadangkan perkara ini kepada Kementerian Sumber Manusia. Terdapat permintaan yang tinggi tetapi jumlah pembantu rumah sebenarnya masih tidak cukup," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai perkembangan semasa sektor itu pada ketika ini.

Alwi berkata ekoran tindakan pembekuan pembantu rumah dari Indonesia sejak pertengahan tahun lepas, PAPA membawa masuk pembantu rumah dari Kemboja dan Filipina bagi memenuhi permintaan majikan.

"Terdapat limitasi dalam perkara ini terutama peruntukan undang-undang yang tidak membenarkan majikan Islam mengambil pembantu rumah bukan beragama Islam," katanya.

Semalam selepas melancarkan buku Garis panduan Penggajian Pembantu Rumah Asing, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata Malaysia dan Indonesia masih berbincang untuk mencari "jalan tengah" bagi menyelesaikan isu gaji pembantu rumah selepas perbincangan sebelum ini menemui jalan buntu.

Indonesia mencadangkan untuk menetapkan gaji minimum RM800, manakala Malaysia tetap berpendirian gaji perlu berdasarkan pasaran selain perbincangan antara majikan dan pembantu rumah terbabit.

Menyokong keputusan gaji berasaskan faktor pasaran, Alwi berkata penetapan gaji perlu menguntungkan kedua-dua pihak, majikan dan pembantu rumah, dan berdasarkan kualiti perkhidmatan dan juga kelayakan pendidikan pembantu rumah terbabit.

"Secara purata gaji pembantu rumah ialah RM500 ke atas. Namun jika pembantu rumah mempunyai kualiti kerja yang baik, majikan boleh menimbangkan gaji lebih tinggi," kata Alwi.

Subramaniam semalam mengumumkan, bermula bulan depan, semua pembantu rumah asing yang baru dan majikan mereka diwajibkan mengikuti seminar bagi memberi pendedahan tentang hak dan tanggungjawab mereka.

Dalam seminar itu, setiap pembantu rumah akan diberikan buku Garis Panduan Penggajian Pembantu Rumah Asing yang akan menjelaskan mengenai tanggungjawab majikan, agensi pekerja dan perkara lain yang berkaitan.

Menyambut positif penganjuran seminar bertujuan menambahbaik kualiti pembantu rumah itu, Pengerusi Persatuan Bocehe Dewe, Ambar Setiowibowo mahu penekanan diberikan terhadap hak pihak terbabit dan undang-undang berkaitan dalam seminar itu.

"Harus juga ada bantuan daripada kedua-dua pemerintah bagi menyelesaikan isu berbangkit seperti masalah gaji, penderaan dan pelanggaran hukum supaya tidak berterusan," kata pengerusi kepada persatuan yang dianggotai lebih 32,000 pekerja Indonesia dalam pelbagai sektor di Malaysia itu.

Mengenai keputusan tiada penetapan gaji minimum, Ambar berkata," kena ada persefahaman antara majikan dan pembantu rumah. Jika pembantu rumah itu kualitasnya baik, mungkin gaji lebih boleh pertimbangkan."

Ketika ini, terdapat lebih 200,000 pembantu rumah asing bekerja di negara ini dengan purata kira-kira 2,000 pembantu rumah baru dibawa masuk pada setiap bulan. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...