Sunday, February 21, 2010

Ops Sapu: 41 pendatang tanpa izin kena tangkap

JOHOR BAHRU: Seramai 41 pendatang asing tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen Johor dalam lima serbuan menerusi operasi Ops Sapu yang dijalankan di sekitar Kulaijaya dan Tampoi, di sini awal pagi semalam.

Penolong Pengarah Imigresen Johor, Masri Adol, berkata ketika serbuan, kebanyakan warga asing sedang asyik bekerja dan ada antara mereka leka menunggu majikan masing-masing tiba.

Beliau berkata, seorang daripada mereka iaitu lelaki warga Indonesia berusia 30-an sempat memegang pisau dan seolah-olah bersedia untuk melawan dan mempertahankan dirinya, daripada dicekup pihak berkuasa itu ketika serbuan di Pasar Awam Kulai di sini, kira-kira jam jam 5.45 pagi.

Bagaimanapun, katanya apabila ditegur anggota penguat kuasa berkenaan, badan lelaki itu mulai berpeluh dan menggeletar serta wajah bertukar menjadi pucat lesi.

"Melihat keadaan suspek, anggota Imigresen terus merampas pisau dan menjalankan pemeriksaan ke tubuhnya sebelum mendapati lelaki ini tidak mempunyai sebarang pas kerja atau dokumen perjalanan yang sah.

"Lelaki ini ditahan bagi siasatan lanjut bersama 15 warga asing dipercayai menjadi pekerja am di pasar itu secara haram termasuk warga India, Vietnam, Bangladesh dan Indonesia," katanya.

Masri menyatakan keadaan turut menjadi kecoh seketika apabila ada antara majikan bersikap lepas tangan dengan menafikan warga asing terbabit pekerja mereka walaupun pekerja mengakui menerima upah daripada mereka.

"Berikutan itu, kami sudah mengeluarkan arahan kepada majikan ini supaya hadir ke Ibu Pejabat Imigresen pada Isnin ini (esok) bagi siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, terdahulu, pihaknya menyerbu dua unit rumah di Blok 18, Taman Cempaka Tampoi, di sini yang dipercayai dijadikan tempat tinggal sementara oleh 24 warga asing.

Menerusi serbuan di kediaman terbabit, pihaknya menahan 22 wanita dewasa warga Indonesia, seorang wanita warga India dan seorang lelaki warga Bangladesh.

"Dua lagi warga asing ditahan menerusi serbuan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, di sini, selepas didapati tidak miliki dokumen perjalanan sah," katanya.

"Semua 41 warga asing yang ditahan kini direman kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), serta Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 iaitu tinggal lebih masa, tidak memiliki dokumen yang sah dan melanggar syarat pas, sebelum dibawa ke depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas bagi siasatan lanjut," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...