Saturday, February 6, 2010

Operasi banteras PATI ditangguh

PUTRAJAYA 5 Feb. – Kerajaan memutuskan menangguhkan pelaksanaan operasi membanteras pekerja asing tanpa permit (PATI) selepas Tahun Baru Cina.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini berikutan komitmen daripada para majikan untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa membersihkan pekerja asing terbabit sebelum penguatkuasaan dijalankan.

‘‘Usaha menangani isu pekerja asing melibatkan semua berkepentingan.

‘‘Mereka telah mengakui ini satu perkara yang perlu ditangani dan ia tidak boleh diserahkan kepada pihak berkuasa sahaja tanpa kerjasama daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 11 persatuan pengusaha restoran Cina termasuk persatuan peniaga dan penjaja kecil di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hishammuddin berkata, mereka diarahkan untuk mengenal pasti jumlah pekerja asing terlibat termasuk mereka yang masih sah atau telah tamat tempoh.

‘‘Saya nak lihat komitmen mereka untuk mengenal pasti dan mengesahkan jumlah mereka kerana saya mempunyai data yang lengkap, jadi mereka tidak boleh sembunyi.

‘‘Semua mengakui terlibat dan ini merupakan satu masalah terutama dalam konteks keselamatan dalam usaha membina negara bangsa yang bersatu,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berusaha mengurangkan kadar jenayah dalam negara dengan menambah jumlah anggota pihak berkuasa dan balai polis bergerak penghujung bulan ini.

‘‘Saya gembira indeks jenayah setakat ini didapati menurun dan kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi dan kementerian untuk bersama-sama dalam hal ini,” katanya.

Mengenai kes-kes tertangguh, Hishammuddin berkata, KDN akan berbincang dengan Peguam Negara termasuk pihak mahkamah bagi menyelesaikan perkara itu termasuk isu dadah.

‘‘Semua kes tertangguh tidak boleh diletakkan atas bahu KDN sahaja kerana ia melibatkan kementerian dan agensi berkaitan,” katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...